My Add

Sunday 30 March 2014

Kerajaan teruskan pembangunan di Balingian

MUKAH, SABTU, 29 Mac, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan semua projek pembangunan yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian bagi menghargai sokongan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan calon BN, Yussibnosh Balo dengan majoriti lebih tinggi iaitu 6,911 undi menunjukkan rakyat di Balingian mahu parti itu terus membela nasib mereka.

Beliau berkata, kemenangan itu juga petunjuk sokongan padu rakyat negeri ini kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

"Terima kasih kepada pengundi Balingian kerana memberi sokongan padu kepada calon BN, Yussibnosh dengan jumlah undi jauh lebih besar iaitu majoriti 6,911 undi.

"Tahniah juga diucapkan kepada calon di atas kejayaan ini. Kemenangan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab. Jadi, kita wajib menunaikan segala apa yang dipersetujui dan dijanjikan," katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, peningkatan majoriti kali ini dipengaruhi pengundi Cina yang dilihat kembali memberi sokongan kepada BN.

"Nampaknya masyarakat Cina di Mukah khususnya Balingian sudah mula 'bercakap' (kembali menyokong BN). Kita amat hargai itu," katanya.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kemenangan BN dalam PRK DUN Balingian menyaksikan sokongan padu bukan sahaja daripada masyarakat luar bandar malah di bandar.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kemenangan tersebut menyaksikan majoriti undi meningkat daripada masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, masyarakat luar bandar terus berdiri teguh di belakang kerajaan BN yang telah membawa pembangunan dan pembelaan mereka hingga hari ini.

"Di kawasan majoriti Cina yang tidak pernah dimenangi kita dapat peningkatan undi kepada BN hingga membolehkan kita menang dengan seratus lebih undi.

"Kemenangan ini juga di sebabkan kekuatan calon yang mesra dan disenangi rakyat di sini," katanya ketika ditemui pemberita se lepas Pengumuman Keputusan PRK DUN Balingian di sini hari ini.

"Jentera BN juga telah menjalankan tugas dengan baik dan diyakini sebagai persiapan bagi mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri pada 2016," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment