My Add

Saturday 29 March 2014

200 umat Islam di Perth adakan solat hajat

 * SEBAHAGIAN daripada 200 Umat Islam menunaikan solat hajat yang dipimpin oleh imam Abdul Jalil Ahmad selepas solat Jumaat bagi memohon dipermudahkan urusan mencari pesawat penerbangan Malaysia MH370 di Masjid Al-Majid, Hepburn Height, Perth, Australia, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
PERTH, jumaat,  28 Mac, 2014: Kira-kira 200 umat Islam di Wanneroo di sini menunaikan solat hajat bagi mendoakan usaha mencari penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang disahkan berakhir di Lautan Hindi pada 8 Mac lalu.

Solat hajat itu yang pertama kali diadakan, disempurnakan oleh umat Islam di sini di Masjid Al-Majid di Hepburn Heights, kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Perth selepas solat Jumaat.

Umat Islam yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat berketurunan Melayu dari Malaysia dan negara jiran mendoakan semoga usaha mencari pesawat berkenaan dipermudahkan.

Imam merangkap Penasihat Persatuan Komuniti Islam Wanneroo, Abdul Jalil Ahmad berkata, sebagai umat Islam beliau terpanggil untuk menyeru penduduk Islam di kawasan itu bagi sama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kesemua penumpang dan anak kapal pesawat tersebut.

Dalam khutbah solat Jumaat yang dibacakan beliau sebelum itu, Abdul Jalil mengingatkan bahawa hidup dan mati setiap umat Islam itu adalah ketentuan Allah SWT.

"Setiap yang berlaku itu sama ada kehidupan atau kematian adalah perjalanan hidup manusia yang sudah ditetapkan-Nya," katanya.

Ketika ditemui selepas solat hajat itu, Abdul Jalil yang berasal dari Aceh, Indonesia berkata, doa yang dipanjatkan itu memohon supaya dipermudahkan segala usaha mencari pesawat dari Malaysia yang disahkan berakhir di perairan berdekatan negara mereka.

Dalam pada itu, bilal masjid tersebut, Khalid Hussein, 63, berkata, dia mencadangkan solat hajat di masjid itu kerana prihatin dengan nasib yang menimpa kesemua mangsa.

"Sebagai umat Islam, saya terpanggil untuk mengajak penduduk di kawasan ini sama-sama mendoakan kesejahteraan semua mangsa kerana sebahagian daripada mereka tetap saudara seagama," katanya yang berasal dari Serkam, Melaka dan menetap di sini selama 42 tahun.

Seorang jemaah masjid, Abdul Samad Mohd. Isa, 67, pula berkata, dia sebak apabila mengenangkan nasib yang dialami kesemua penumpang pesawat berkenaan.

"Saya terpanggil untuk menunaikan solat hajat ini bagi mendoakan semoga usaha mencari pesawat ini akan berhasil," kata warga emas itu yang tinggal di sini sejak 1974. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment