My Add

Monday 31 March 2014

Malaysia percaya ICT boleh peranan lebih dalam industri penerbangan

DUBAI, AHAD, 30 Mac, 2014: Malaysia percaya bahawa teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh memainkan peranan lebih penting dalam industri penerbangan susulan kehilangan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang menimbulkan misteri.

Dalam konteks ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, mengesan dan mencari kotak hitam, contohnya, seharusnya menjadi perkara yang telah berlalu, terutama dengan kemunculan teknologi ’cloud computing’ (pembangunan dan penggunaan teknologi komputer dengan menggunakan internet sebagai ruang untuk menyimpan segala data).

"Saya percaya bahawa data daripada pesawat termasuk daripada kotak hitam boleh dihantar secara berterusan dan disimpan di pusat data di bumi. Kita seharusnya boleh mengambil dan menganalisis data ini tanpa perlu mengesan kotak hitam.

"Saya percaya perubahan yang mudah ini mungkin membawa hasil yang berbeza (dalam bidang penerbangan) sekarang," kata beliau dalam kenyataan dasar pada Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia (WTDC) 2014 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu, Ahad. Kenyataan itu dihantar kepada Bernama di sini.

Justeru, beliau menggesa Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bekerjasama dengan industri penerbangan untuk membolehkan pemantauan data penerbangan dari semasa ke semasa dan memantau apa yang berlaku di dalam kokpit. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment