My Add

Sunday 30 March 2014

Lima prinsip bangunkan negara

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan RODELIO JUNJUN TAUCAN
 
 * NAJIB Tun Razak bersama Presiden GMB, Agil Faisal Ahmad Fadzil meneliti sisipan Usaha Muda keluaran Utusan Malaysia selepas majlis pelancarannya sempena Kongres Usahawan Muda Bumiputera di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC), Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/MOHD. NAIM AZIZ
KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Mac, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan lima prinsip dalam usaha kerajaan membangunkan negara ini dan memperkasakan agenda bumiputera termasuk golongan muda.

Perdana Menteri berkata, prinsip pertama ialah mempercayai kemampuan generasi muda dan perkara itu bukan hanya sebagai satu ungkapan sebaliknya mesti diterjemahkan menerusi dasar, tindakan dan program yang akan memperkasakan golongan berkenaan.

Katanya, kerajaan juga percaya kepada pembangunan seimbang yang mana kekayaan negara apabila dikongsi antara kaum secara adil dan saksama menjadi ramuan kepada kestabilan politik dalam jangka masa panjang.

“Kerajaan telah mengisytiharkan agenda bumiputera sebagai sebahagian daripada agenda nasional.

“Bertitik tolak daripada pengakuan ini dan prinsip ini, kita bersungguh-sungguh melaksanakannya," katanya ketika berucap menutup Kongres Usahawan Muda Bumiputera di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di sini hari ini.

Kongres bertemakan ‘Ekonomi Satukan Kita’ itu berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu dan dianjurkan oleh Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai satu wadah bagi usahawan muda mencerna landskap ekosistem perniagaan baharu.

Menurut Perdana Menteri, prinsip keempat ialah memastikan pembangunan secara menyeluruh dan mampan yang bermaksud usahawan yang ingin dibangunkan itu adalah terbaik dalam jangka masa panjang dan boleh dibanggakan.

“Prinsip kelima, kita mesti ada kemampuan untuk mencipta dan menjana kekayaan kerana ia adalah anak kunci kepada kejayaan mana-mana bangsa terutama apabila berada dalam era yang semakin kompetitif," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat tiga kategori penting dalam usaha membangun dan memperkasakan golongan muda iaitu kepemimpinan yang mempunyai wawasan, berkesan dan berakhlak serta penguasaan ilmu dan kemahiran.

Kategori ketiga, katanya, ialah tidak hanya boleh bergantung kepada pendapatan hasil pekerjaan daripada kerajaan sebaliknya mesti mampu berdikari dan seterusnya menyediakan pekerjaan kepada orang lain.

Tambah Perdana Menteri, banyak usaha yang sedang dilakukan kerajaan bagi membantu usahawan bumiputera mengembangkan perniagaan masing-masing ke peringkat lebih tinggi antaranya menerusi program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb).

Katanya, menerusi program Superb, kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi memberi peluang kepada syarikat permulaan bumiputera menerima kemudahan geran sehingga RM500,000.

“Seramai 25 usahawan yang ditapis daripada 1,700 orang menjadi kumpulan pertama dikenal pasti untuk dibantu menerusi program Superb," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment