My Add

Sunday 30 March 2014

Program Tube peruntuk RM10 juta

KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Mac, 2014: Kerajaan hari ini memperkenalkan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) dengan peruntukan RM10 juta bagi membantu golongan muda bumiputera memulakan perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, 500 belia disasarkan menyertai skim baharu itu yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Kata beliau, menerusi skim tersebut, usahawan muda melalui tiga fasa latihan sebelum diberikan geran RM15,000 untuk memulakan perniagaan.

"Fasa pertama melibatkan ketahanan jati diri menerusi latihan berbentuk fizikal serta mental manakala fasa kedua ialah bengkel perniagaan yang merangkumi asas perniagaan dan penyediaan pelan perniagaan.

"Fasa ketiga pula ialah pelaksanaan perniagaan oleh peserta yang akan mendapat bantuan jika mereka melepasi fasa satu dan dua," katanya ketika berucap menutup Kongres Usahawan Muda Bumiputera di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria; Pengerusi Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Ketua Pegawai Eksekutif SMEcorp, Datuk Hafsah Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dr. Wong Lai Sum dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Husni Salleh.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia, Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Sempena majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan sisipan Usaha Muda hasil kerjasama Kementerian Kewangan dan akhbar Utusan Malaysia yang merupakan tindak balas pertama GMB Malaysia dalam melengkapkan kekurangan maklumat oleh usahawan-usahawan bumiputera.

Beliau juga menyaksikan pertukaran dokumen antara GMB Malaysia dan UiTM yang membabitkan kerjasama untuk membentuk budaya usahawan dalam kalangan siswazah.

Mengulas lanjut mengenai program Tube, Perdana Menteri berkata, dalam fasa ketiga, para peserta akan mendapat bimbingan antaranya daripada kaunselor dan pakar perniagaan, kewangan serta panel penasihat selama 12 bulan.

Menurut beliau, syarikat-syarikat dalam kalangan belia bumiputera yang berjaya akan diberi geran permulaan RM15,000.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan di bawah kepemimpinan beliau akan tetap bersama dan terus memperkasakan golongan muda terutama dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Beliau berharap golongan berkenaan mempunyai ketahanan, keyakinan, ketabahan dan kegigihan dalam perjuangan untuk memajukan diri.

"Kita mesti menjadi orang yang cekap, mempunyai iltizam dan menganggap perjuangan ini sebagai jihad. Insya-Allah kita akan terus berjaya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment