My Add

Sunday 30 March 2014

Kongres capai objektif

KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Mac, 2014: Kongres Usahawan Muda Bumiputera (KUMB) yang julung kali diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MECC) berjaya mencapai objektif menyalur maklumat lengkap serta panduan kepada usahawan muda berkecimpung dalam perniagaan.

Program tiga hari itu menghimpunkan lebih 1,500 usahawan muda dengan pemimpin kanan agensi kerajaan melalui penganjuran beberapa forum untuk merungkai permasalahan yang timbul dan mencari jalan membantu usahawan muda.

Beberapa tokoh turut diundang berkongsi pengalaman antaranya Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin; Presiden Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi; pengasas produk kecantikan Felinna Beauty, Nadia Felinna Abd. Fattah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tricubes Bhd., Khairun Zainal Moktar.

Penganjur turut menjemput pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan ulama muda, Dr. Fathul Bari Mat Jahya untuk memberi kefahaman tentang kepentingan menjalankan perniagaan berlandaskan ajaran agama.

Seorang peserta, Shah Mohd. Salleh, 39, berkata, forum yang diadakan berjaya menjawab beberapa persoalan yang selama ini menjadi penghalang untuk mengembangkan perniagaannya.

"Saya berpuas hati kerana diberi peluang memperluaskan perniagaan," kata pemilik syarikat cat, Shahzura Resources Sdn. Bhd. itu.

Pemilik syarikat busana dan tudung dari Tawau, Sabah, Juliana Muhd. Ali, 34, berpendapat, KUMB menjadi platform baginya untuk mencari pasaran baharu di seluruh negara kerana ia melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

"Saya sanggup datang sebab mahu melihat apa tawaran dan insentif kerajaan sediakan kepada usahawan muda seperti saya," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment