My Add

Sunday 30 March 2014

Pasangan lega hukuman dikurangkan

Oleh FAIZAH IZZANI

KUALA LUMPUR, SABTU, 2014: 29 Mac - Pasangan Azizul Raheem Awaludin dan Shalwati Nor Shal yang dijatuhkan hukuman penjara di Stockholm, Sweden kerana didakwa mendera anak-anak mereka, lega apabila dimaklumkan Mahkamah Daerah Solna bahawa mereka hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman yang diputuskan semalam.

Perkara itu disahkan Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat yang berkata, Azizul Raheem kini hanya perlu menjalani hukuman penjara selama tiga bulan manakala Shalwati pula enam bulan.

"Seorang wakil keluarga mereka memaklumkan kepada saya bahawa pasangan tersebut lega dan menganggap pengurangan hukuman itu satu rahmat besar.

"Sebaik dibebaskan pada Jun (Azizul Raheem) dan September (Shalwati) nanti, saya dimaklumkan pasangan itu akan terus pulang ke Malaysia untuk bertemu dengan anak-anak mereka," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Azizul Raheem dan Shalwati masing-masing dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan dan 14 bulan oleh Mahkamah Daerah Solna semalam kerana mendera anak-anak mereka pada Disember lalu.

Mahkamah juga memerintahkan Shalwati dan Azizul Raheem masing-masing membayar ganti rugi 67,200 SEK (RM33,900) dan 36,400 SEK (RM18,362) kepada empat anak mereka.

Berikutan penahanan pasangan itu, empat anak mereka diletakkan di bawah jagaan sementara keluarga angkat bukan Islam di Sweden sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Kini, keempat-empat anak pasangan itu diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka di Wakaf Tok Wali, Melor, Kelantan.

Khairul Anwar berkata, selain hukuman penjara yang berkuat kuasa dari tarikh pasangan itu direman, pihaknya difahamkan pengurangan tersebut juga dibuat berdasarkan perkembangan semasa dan kes-kes seumpama itu di Sweden sebelum ini.

Beliau berkata, pasangan tersebut juga reda dengan keputusan mahkamah yang memutuskan mereka bersalah dan sanggup mengharungi hukuman tersebut demi mendidik anak-anak mereka menjadi insan soleh.

Katanya, kes pasangan tersebut juga menjadi pengajaran kepada rakyat negara ini agar memahami undang-undang negara lain ketika bertugas atau berada di luar negara.

Kejadian yang menimpa Azizul Raheem dan Shalwati itu telah mengejutkan beberapa pakar hak asasi kanak-kanak di Sweden serta mencetuskan kemarahan penduduk di negara ini yang mana tindakan memukul kanak-kanak bukan satu jenayah.

Sweden merupakan negara pertama di dunia yang mengharamkan tindakan memukul kanak-kanak pada 1979 sebelum diikuti 36 negara lain. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment