My Add

Monday 31 March 2014

Pilihan raya Senat tentu nasib Yingluck

 *YUNGLUCK Shinawatra turut serta mengundi dalam pilihan raya peringkat Senat di Bangkok, Thailand, semalam. - REUTERS
BANGKOK 30 Mac, 2014: Thailand mengadakan pilihan raya peringkat Senat hari ini, sekali gus bakal menjadi penentu nasib Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra yang berdepan dakwaan berlaku cuai berhubung skim subsidi beras.

Pilihan raya berkenaan diadakan ketika berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan antikerajaan meneruskan bantahan sejak tiga bulan lalu bagi mendesak Yingluck berundur.

Walaupun Dewan Senat Thailand secara rasminya seimbang antara wakil kerajaan dan pembangkang, tetapi kedua-dua pihak dijangka mahu menguasai kemenangan selepas Dewan Rendah masih tidak berfungsi ekoran pilihan raya pada Februari lalu terjejas.

Penunjuk perasaan mengganggu pilihan raya pada bulan lalu dan mendesak pembaharuan pentadbiran dilaksanakan bagi mengatasi masalah rasuah.

Bagaimanapun, kumpulan antikerajaan berkata, mereka tidak akan mengganggu proses pilihan raya Senat yang berlangsung hari ini.

Yingluck dipanggil menghadap Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan (NACC) sebelum esok bagi mempertahankan dirinya terhadap tuduhan cuai mengendalikan dana skim subsidi beras.

Jika beliau didakwa di mah­kamah, Yingluck akan berdepan undi tidak percaya di Dewan Parlimen yang boleh menyebabkan pemecatan dan larangan selama lima tahun dalam bidang politik.

Sementara itu, dua anggota polis maut, manakala tiga yang lain cedera dalam satu letupan bom ketika pasukan keselamatan itu dalam perjalanan ke sebuah pusat mengundi di daerah Rueso di sini, awal hari ini.

Akhbar Bangkok Post melaporkan, kejadian itu berlaku apabila lima anggota polis berkenaan dalam perjalanan menaiki sebuah kenderaan untuk ke pusat mengundi sempena pilihan raya Senat di Ban Sue Lo. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment