My Add

Saturday 29 March 2014

Pesawat temui objek pelbagai warna

CANBERRA, JUMAAT, 28 Mac, 2014: Sebanyak lima buah pesawat telah menemukan beberapa objek pelbagai warna dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hari ini.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenyataan berkata, objek itu ditemukan selepas seharian pesawat berkenaan melakukan pencarian meliputi 256,000 kilometer (km) persegi di kawasan baharu.

Katanya, gambar beberapa objek yang dikesan itu akan ditafsirkan dengan seberapa segera.

Tambahnya, objek itu tidak boleh disahkan sebagai serpihan pesawat MH370 sehingga pasukan mencari, mengesan dan mengutip objek tersebut menggunakan beberapa buah kapal.

"Sebuah pesawat P3 Orion Tentera Udara Diraja New Zealand (RNZAF) dilaporkan menemui sejumlah objek berwarna putih atau berwarna cerah dan sebuah pelampung pukat menangkap ikan.

"Sebuah lagi pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) telah menjejak objek-objek yang dikesan pesawat P3 Orion RNZAF dan melaporkan melihat dua objek berbentuk segi empat tepat berwarna biru-kelabu terapung di lautan," kata AMSA.

Selain itu tambahnya, sebuah lagi pesawat P3 Orion RAAF mengesan beberapa objek pelbagai warna di kawasan berasingan dalam lingkungan 546 km setiap satu.

Berikutan itu, AMSA meminta kapal peronda Pentadbiran Maritim China, Haixun 01 yang berada di kawasan pencarian supaya bersiap sedia menjejak objek-objek berkenaan esok.

Keadaan cuaca di kawasan pencarian juga dijangka elok esok.

Menurut kenyataan AMSA, kawasan baharu pencarian itu berukuran 319,000 km persegi iaitu berkeluasan kira-kira empat kali lebih besar daripada kawasan pencarian sebelum ini di selatan Lautan Hindi.

Kedudukan lokasi baharu itu kira-kira 1,100 km ke timur laut Lautan Hindi. - AGENSI/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment