My Add

Monday 31 March 2014

Ibu seorang penumpang MH370 yakin anaknya selamat

BERA, AHAD, 30 Mac, 2014: "Saya yakin anak saya masih hidup," kata Normah Jaafar, ibu kepada Khairul Amri Selamat, seorang daripada 239 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Bagi ibu tunggal berusia 56 tahun ini, selagi belum ada bukti sahih tentang nasib pesawat itu, selagi itu beliau yakin anaknya yang mesra dengan panggilan 'adik' masih selamat.

"Saya tidak pernah bermimpi apa-apa pun setakat ini, kerana itu sebagai seorang ibu, hati kecil ini kuat mengatakan beliau masih selamat," katanya yang ditemui semasa menerima lawatan Anggota Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurutnya, sejak kehilangan pesawat itu, setiap hari jugalah apabila pukul 5.30 petang, dengan penuh harapan beliau akan menanti panggilan daripada anak bongsunya itu.

Ini kerana kelazimannya pada waktu itulah, anaknya akan membuat panggilan telefon untuk bertanya khabar setiap kali anaknya pulang dari kerja.

Normah berkata, beliau teramat merindui anaknya daripada tiga beradik itu dan mengharap sesuatu keajaiban akan berlaku.

Menurutnya, berikutan kejadian itu juga kesihatan cucunya Mohd Airil yang berumur 1 tahun 4 bulan yang merupakan cahaya mata pertama Mohd Khairul Amri hasil perkahwinannya dengan Erni Artila Mustafa, 29, turut terganggu kerana terlalu rindukan ayahnya.

Ismail Sabri pula berharap keluarga tersebut akan terus tabah selain melakukan solat hajat dan memperbanyakkan doa supaya usaha mencari pesawat tersebut dipermudahkan yang maha kuasa.

"Sebagai orang Islam kita kena banyak bersabar, mohon doa dan solat hajat agar diberkati Allah serta dipermudahkan operasi mencari serta menyelamat yang kini sedang giat dilakukan.

"Dalam masa yang sama, kita juga perlu meneruskan kehidupan seharian dan menjaga kesihatan serta makan minum. Jika sakit, ia akan menyulitkan lagi keadaan," katanya yang mengunjungi Normah di Taman Kerayong Makmur. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment