My Add

Tuesday, 18 March 2014

Pelaburan unit amanah bumiputera meningkat

Oleh FADZIL ZAINOL
 
 * PELABUR tidak harus melihat pelaburan di dalam unit amanah hanya untuk meraih pulangan jangka pendek, kerana kesan pelaburan hanya boleh dirasai untuk jangka masa panjang. - Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR, ISNIN, 17 Mac, 2014: Kurangnya pendidikan dan pen­de­dahan mengenai pelaburan me­nyebabkan kaum bumiputera jarang menyertai skim pelaburan atau unit amanah yang lain, selain daripada simpanan di Tabung Haji dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Presiden Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia, Sharifatul Hanizah Said Ali berkata, pemilihan dua produk simpanan dan pelaburan itu kerana memenuhi tuntutan agama (Tabung Haji) dan ekonomi bangsa (ASB).

Bagaimanapun katanya, sejak akhir-akhir ini kecenderungan kepada unit-unit amanah lain semakin meningkat melalui pelbagai aktiviti pendedahan pelaburan yang dilakukan, kesediaan dari segi kewangan serta selera seseorang yang mahu meraih pulangan pelaburan yang lebih tinggi.

"Malah, syarikat pengurusan unit amanah kini turut menjelaskan di manakah sesuatu dana unit amanah itu akan dilaburkan sama ada dalam ekuiti, bon atau yang memenuhi konsep syariah.

"Keadaan itu sedikit sebanyak membantu pelabur (bumipu­te­ra) mengetahui dan menyusun pelaburan yang sesuai kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Dana Ma­laysia Morningstar 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Morningstar Asia Pasifik, Tom Schiller, Penganalisis Dana Morningstar Asia, Arne Hilke dan Konsultan Kanan Morningstar, Sheela Veerappan.

Jelas Sharifatul Hanizah lagi, pelabur tidak harus melihat pelaburan di dalam unit amanah hanya untuk meraih pulangan jangka pendek, kerana kesan pelaburan hanya boleh dirasai untuk jangka masa panjang.

Namun, kajian yang dibuat oleh syarikat penyelidik unit amanah antarabangsa, Morningstar turut mendapati pelabur di rantau Asia Pasifik secara keseluruhannya kurang melabur di dalam unit amanah berbanding pelabur di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Sebaliknya, pelabur di Asia Pasifik lebih gemar pasaran ekuiti bagi meraih pulangan yang tinggi.

Tetapi, potensi produk unit amanah dijangka mendapat sambutan yang hebat memandangkan pelaburan di dalam produk itu menjadi satu keperluan terutamanya bagi menyokong pesara.

Dalam pada itu, Veerappan berkata, pihaknya menjangka rangka kerja Pasport Unit Amanah Singapura-Malaysia-Thailand dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.

Pasport tersebut merupakan inisiatif oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia bersama pihak berkuasa pelabur dan kewangan Singapura dan Thailand untuk memperkenalkan kemudahan produk unit amanah yang terbuka kepada pelabur runcit di ketiga-tiga negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment