TTPA: Dasar halal tidak dipertikai
KUALA LUMPUR, SELASA, 18 Mac, 2014: Semua negara terlibat dalam Perjanjian Trans-Pasifik (TTPA) mencapai kata sepakat untuk tidak mempertikaikan dasar Malaysia berhubung isu halal.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, persetujuan tersebut dicapai dalam mesyuarat peringkat menteri kali keenam perjanjian berkenaan di Singapura, Februari lalu.
"Berhubung TTPA, terdapat kemajuan dalam beberapa perkara termasuk isu berkaitan halal, yang mana kata sepakat dicapai oleh negara-negara TTPA untuk dikecualikan daripada skop.
"Perkembangan ini bermakna tidak ada mana-mana negara yang berhak untuk mempertikaikan dasar Malaysia berkaitan halal," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) yang bertanyakan tentang perkembangan terkini perundingan yang telah disertai kerajaan berkaitan penyertaan Malaysia dalam TTPA.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, dalam mesyuarat berkenaan, tujuh perkara diperhalusi iaitu akses pasaran yang melibatkan rundingan untuk menurunkan tarif ke atas barangan tertentu seperti keluaran pertanian, perolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan, isu alam sekitar, buruh, harta intelek dan pertikaian pelaburan.
Dalam pada itu, menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) tentang hasrat Korea Selatan untuk menyertai perjanjian TTPA, Mustapa menjelaskan, TTPA tidak berhasrat untuk menerima Korea Selatan dan beberapa negara lain menyertai rundingan itu buat masa ini.
Jelas beliau, perkara itu dipersetujui bersama memandangkan banyak isu dan masalah perlu diselesaikan antara semua negara TTPA.
"Kita turut membincangkan hasrat Korea Selatan dan negara lain untuk menyertai perjanjian TTPA, namun setakat ini, dirasakan lebih baik diteruskan dengan 12 negara kerana kita perlu memberi tumpuan sewajarnya dalam menyelesaikan isu membabitkan semua negara terlibat itu," katanya.
Sementara itu, Mustapa ketika ditemui pemberita berkata, sehingga kini, Malaysia belum memuktamadkan hasrat untuk menyertai perjanjian TPPA berkenaan walaupun terdapat beberapa negara berhasrat memuktamadkan sejak Disember tahun lepas.
"Kita tidak dalam keadaan tertekan atau mengejar masa dalam membuat keputusan tentangnya selagi isu-isu yang timbul belum lagi diselesaikan," katanya.
Menurutnya, kerajaan menghargai pandangan serta teguran daripada anggota kaukus Parlimen yang terdiri daripada pihak pembangkang dan penyokong kerajaan.
"Pihak kerajaan akan tetap mengekalkan pendirian bagi menjaga kepentingan negara dan dasar-dasar yang telah termaktub sebelum membuat keputusan muktamad tentang perjanjian ini," tegasnya.
Rundingan TTPA membabitkan 12 negara iaitu Australia, Amerika Syarikat, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment