KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu bertanggungjawab jika gagal membawa pulang emas pertama negara pada Sukan Olimpik London Julai ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata, badminton masih menjadi sandaran utama negara untuk meraih emas pada temasya itu menerusi perseorangan nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dan beregu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong walaupun harapan juga diletakkan pada acara sukan lain.
"Jika gagal memenangi emas di Olimpik, seluruh BAM perlu bertanggungjawab. Bukan saja BAM, malah saya dan rakan di MSN (Majlis Sukan Negara) serta ISN (Institut Sukan Negara) juga harus bertanggungjawab.
"Ini kerana pencapaian emas di London menerusi program 'Road to London' adalah KPI (Petunjuk Prestasi Utama) tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan BSN Maraton Malam Putrajaya 2012, di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata, pada masa ini BAM perlu menumpukan kepada Sukan Olimpik dan mengetepikan dahulu perancangan jangka panjang seperti melakukan rombakan jurulatih dan lain-lain.
Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi, Salleh turut menolak cadangan untuk merombak barisan jurulatih badan induk badminton negara itu pada masa sekarang.
Sebaliknya, beliau berkata jurulatih sedia ada perlu mengenal pasti kaedah berkesan dalam melahirkan pemain bertaraf dunia seperti Chong Wei.
"Kita tak perlu emosional. Rombakan jurulatih tidak semestinya mendatangkan hasil. Yang penting seluruh sistem termasuk pihak pengurusan perlu berjalan dengan baik," katanya.
Mohd Nadzmi berkata, BAM juga kini sedang memantau proses persediaan pemain-pemain negara lain yang akan bersaing dengan pemain Malaysia pada Sukan Olimpik kelak. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment