My Add

Wednesday 30 May 2012

Penerbit buku Irshad ditahan

Oleh Rafidah Mat Ruzki
SHAH ALAM, SELASA, 29 Mei, 2012: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), semalam menyerbu pejabat syarikat penerbitan ZI Publications, yang menterjemah dan menerbitkan buku tulisan Irshad Manji di Petaling Jaya.

Syarikat milik anak Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim itu diserbu jam 10.30 pagi dan 180 buku bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta yang sudah diterjemahkan ke bahasa Malaysia dirampas.

Pemangku Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, ketika dihubungi berkata, pihaknya turut menahan pengarah syarikat itu, Mohd Ezra Zaid dan membawanya ke Ibu Pejabat JAIS di Shah Alam untuk disoal siasat.

“Serbuan dibuat dengan membawa waran geledah dan dilakukan mengikut Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995,” katanya mengesahkan 20 penguat kuasa JAIS diketuai Pegawai Operasi, Hardi Mohd Sadali melakukan serbuan itu.

Mohd Shahzihan berkata, Mohd Ezra memberi kerjasama sepanjang siasatan dilakukan.

Mohd Ezra yang turut menghantar mesej mengenai serbuan dan kehadirannya di JAIS melalui laman twitternya, kemudian dilihat keluar bersama peguamnya, Nizam Bashir dari pejabat JAIS, di sini, jam 3.15 petang selepas memberi keterangan selama dua jam.

Beliau kemudian dibawa ke Mahkamah Syariah Shah Alam untuk proses jaminan.
Penolong Pengarah Siasatan JAIS, Shahrom Maarof, ketika ditemui selepas prosiding jaminan tertutup di hadapan Hakim Syarie Shahrudin Selamat berkata, Mohd Ezra dibebaskan dengan jaminan RM1,800.

Jumaat lalu, penguat kuasa JAIS turut memeriksa sebuah kedai buku di Bukit Tinggi, Klang tetapi tiada buku berkenaan dijual di premis berkenaan.

Selain Mohd Ezra, Zaid juga memuatkan dalam laman twitternya mengenai serbuan dan penahanan Mohd Ezra.

Sementara itu, Mohd Ezra enggan mengulas lanjut mengenai serbuan dan penahanannya, sebaliknya memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment