My Add

Thursday 31 May 2012

PKR kecewa SPRM buka kes Azmin, bebaskan Shahrizat

SHAH ALAM, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Dua pemimpin kanan PKR kesal dengan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - mengisytiharkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersih daripada tuduhan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) manakala kes rasuah 17 tahun lalu Azmin Ali mahu dibuka semula.

"Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat SPRM pada hari ini berhubung kes NFC dan penglibatan Shahrizat serta tuduhan terhadap Azmin Ali," kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar) dan Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, kedua-dua mereka berkata, sungguhpun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Shahrizat dari tuduhan rasuah bersabit NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.

"Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap Azmin walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.

"Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Shahrizat walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Shahrizat didapati tidak terbabit dalam proses perolehan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan Persekutuan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), yang dimilki suami dan anaknya.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil hari ini berkata kertas siasatan SPRM dan laporan Pejabat Peguam Negara mendapati Shahrizat tidak terlibat dan kes itu ditutup.

Katanya, Ketua Wanita Umno itu tidak terlibat langsung dalam proses perolehan pinjaman yang dibuat oleh suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang juga pengerusi NFC.

Berikutan isu pinjaman itu, Shahrizat telah meletakkan jawatan menteri berkenaan apabila tempoh beliau sebagai senator tamat pada 8 April lepas.

Suaminya kini menghadapi perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM49.7 juta dan dua tuduhan melanggar Akta Syarikat 1965.

Perbicaraan akan bermula 5 hingga 9 November ini disusuli antara 3 dan 14 Disember ini. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment