My Add

Thursday 31 May 2012

BN tunai janji di Ampangan tidak sampai empat bulan

*TAPAK gerai perniagaan di Ampangan, Negeri Sembilan yang akan di robohkan untuk pembinaan gerai baru.

SEREMBAN, RABU, 30 Mei, 2012: Semasa majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Ampangan di Gerai Perniagaan dan Pasar Ampangan dekat sini pada 15 Oktober tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.5 juta bagi menaik taraf serta menyelenggara tiga lokasi awam di kawasan berkenaan.

Daripada peruntukan itu, sebanyak RM4 juta bagi menaik taraf gerai perniagaan Ampangan, RM950,000 menyelenggara Rumah Pangsa Ampangan dan RM500,000 (pasar Ampangan).

Peruntukan itu disalurkan oleh kerajaan yang mahu melihat penduduk di kawasan berkenaan menikmati kehidupan lebih sejahtera meskipun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan dikuasai pembangkang yang menang buat pertama kali dalam pilihan raya umum lalu.

Tidak sampai empat bulan selepas pengumuman itu, janji tersebut telah pun ditunaikan.

Projek menaik taraf gerai perniagaan pula dijangka bermula pada Julai ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Ampangan, Anuwar Alabahas mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup penghuni rumah pangsa berkenaan.

"Saya dan penduduk kawasan ini tidak menyangka apa yang telah kami harap dan doakan selama ini termakbul akhirnya.

"Kami amat gembira dengan perubahan besar yang dilakukan di tempat tinggal kami. Kini kami boleh tinggal dalam keadaan lebih selesa dan harmoni," katanya dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kata Anuwar, tanpa bantuan kerajaan, penduduk di kawasan tersebut mungkin tidak mampu membaiki kerosakan rumah termasuk kemudahan awam di kawasan perumahan itu.

"Sebelum ini kawasan ini boleh dikatakan sudah tidak bermaya kerana banyak masalah yang dihadapi penduduk selepas segala kemudahan termasuk saluran air rosak akibat terlalu usang.

"Tetapi kini semua telah berubah apabila longkang, tingkap, kawasan pembuangan sampah, paip air, termasuk taman permainan telah dibaiki.

"Bukan itu sahaja, rumah kami juga telah dicat, jalan ditar malah bumbung termasuk surau sudah dibaiki dan diganti," ujarnya.

DUN Ampangan adalah salah satu daripada enam DUN yang terletak dalam Parlimen Seremban.

Kawasan yang mengandungi sebanyak lapan kampung Melayu dan 20 taman perumahan ini mempunyai sembilan pusat mengundi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rashid Latif menewaskan muka baru Barisan Nasional (BN), Mohd. Nor Awang dengan majoriti 165 undi.

Jika diteliti pada keputusan tersebut, terdapat 236 undi rosak manakala 29 kertas undi lagi tidak dikembalikan.

"Walaupun calon PKR diangkat sebagai wakil rakyat, hakikatnya rakyat lebih mudah dan senang meminta pertolongan daripada Pusat Khidmat Masyarakat BN DUN Ampangan," kata Pegawai Penyelaras pusat tersebut, Ros Shahar Mustafa.

Jelasnya, wakil rakyat sedia ada sering memberi cadangan yang tidak munasabah apabila sesuatu masalah dibangkitkan kepadanya.

Kata Ros Shahar lagi, apabila penduduk mengadu masalah banjir kilat yang sering melanda kampung mereka, ADUN Ampangan itu hanya menyarankan supaya diadakan piket di depan Wisma Negeri yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri.

"Ini bukan menyelesaikan masalah tetapi hanya menambah masalah," ujarnya.

Beliau menarik perhatian, Pusat Khidmat Masyarakat BN DUN Ampangan menjadi begitu terkenal hingga ada rakyat dari DUN yang berjiran seperti Paroi dan Sikamat yang turut dikuasai pembangkang datang ke situ meminta bantuan.

Ros Shahar memberitahu, pelbagai bantuan disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat di kawasan Ampangan selepas pilihan raya umum lalu.

Antaranya kata beliau, jika sebelum pilihan raya umum lalu jumlah penerima bantuan bulan Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah kira-kira 60 orang tetapi kini bertambah kepada 600 orang.

Sebanyak 50 buah rumah di kawasan itu juga telah dibaik pulih melalui Skim Baik Pulih Rumah melibatkan perbelanjaan kira-kira RM500,000.

Salah seorang penduduk Ampangan, Rosly Abu Bakar, 62, berharap para pengundi di situ akan membuat keputusan tepat pada pilihan raya umum akan datang.

"Apa yang kita lihat sejak pilihan raya umum lalu adalah bukti jelas pihak yang mana sebenarnya berkhidmat tanpa jemu.

"Janganlah diulangi kesilapan lalu dan buatlah keputusan demi masa depan kita semua," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment