My Add

Thursday 31 May 2012

ATM cadang MALCON ISAF terus khidmat di Afghanistan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya pasukan MALCON ISAF terus berkhidmat di Afghanistan walaupun Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dijangka berundur dari negara bergolak itu pada 2013.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, pihaknya berharap kerajaan akan mempertimbangkan khidmat pasukan MALCON ISAF di Afghanistan kerana rakyat negara itu masih memerlukan bantuan kemanusiaan dari Malaysia.

"ATM mempunyai beberapa cadangan antaranya cuba meminta bantuan daripada kerajaan Afghanistan dan negara asing lain dalam aspek keselamatan selain menambah bilangan anggota bagi melindungi pasukan MALCON ISAF di sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis khas meraikan pasukan MALCON 3 ISAF, yang pulang ke tanah air dari Afghanistan pada 5 Mei lepas, di sini hari ini.

Zulkifeli, bagaimanapun berkata pihaknya akan menerima sebarang keputusan daripada kerajaan sama ada pasukan MALCON ISAF akan terus dihantar berkhidmat di Afghanistan atau sebaliknya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment