My Add

Thursday, 31 May 2012

608 anggota ATM terbabit istiadat mengarak Panji-panji Agong

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Seramai 586 anggota lain-lain pangkat dan 22 pegawai dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terbabit dalam istiadat mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Kem Perdana Sungai Besi Sabtu ini. 

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan berangkat menghadiri istiadat itu.

Istiadat sembah ikrar taat setia ATM kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi ATM itu diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 2 Jun ini.

Pegawai Perhubungan Media, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, Mejar Abd Rais Esa berkata, anggota perbarisan yang terbabit dalam perarakan telah mula berlatih sejak dua minggu lepas. 

"Hari ini raptai penuh dan persiapan individu sudah engkap sepenuhnya, hanya persiapan logistik seperti persiapan pentas dan bendera-bendera yang masih dalam 80 peratus, namun akan diselesaikan sebelum istiadat," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Abd Rais berkata, anggota yang terlibat dengan perarakan pada hari terbabit adalah anggota yang biasa terbabit dalam istiadat perbarisan dan mereka akan memakai pakaian khas untuk sambutan keputeraan. 

Beliau berkata, orang ramai juga dijemput hadir ke Kem Perdana Sungai Besi untuk menyaksikan secara dekat istiadat terbabit atau menonton siaran langsung melalui TV1 Radio Televisyen Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment