My Add

Thursday, 31 May 2012

Tiga individu perlu tampil jawab tuduhan

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Mei, 2012: Tiga individu yang didakwa terlibat dalam kes rasuah seperti didedahkan oleh pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, perlu tampil untuk menjawab segala dakwaan tersebut.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, mereka ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan isterinya, Shamsidar Taharin.

Menurut beliau, dakwaan tersebut serius kerana ia membabitkan soal salah guna kuasa oleh seorang yang berjawatan tinggi dalam kerajaan.

''Perkara ini sebenarnya sudah lama tetapi didiamkan sahaja. Bagi saya, kalau orang itu bersalah dia tetap bersalah sekali pun kes lama.

''Walaupun Anwar ketika itu Timbalan Perdana Menteri, dia tiada hak mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menutup kes kerana tiada siapa boleh mengatasi undang-undang.

''Saya rasa, Azmin dan Shamsidar juga harus jawab,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Raja Petra yang mendakwa Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri telah bertindak menutup kes rasuah membabitkan Azmin.

Maklumat tersebut didedahkan bekas pegawai kanan BPR yang bertanggungjawab menyiasat kes tersebut dalam satu pertemuan di London.

Dalam pendedahannya, Raja Petra mendakwa Anwar pada 1995 mengarahkan pegawai kanan BPR menghentikan siasatan berhubung kekayaan luar biasa bernilai jutaan ringgit yang dimiliki Azmin dan Shamsidar walaupun sebagai Setiausaha Sulit, gaji Azmin hanya RM2,442 sebulan.

Antara kekayaan Azmin pada ketika itu dakwa Raja Petra adalah memiliki sebuah kereta mewah BMW 325i (RM160,529), Proton Perdana 2.0 SE (RM80,767), rumah banglo dua tingkat di Setapak (RM284,118), rumah berkembar di Taman Melawati (RM210,000) serta sejumlah 1,000 unit saham dalam Hicom.

Dalam pada itu, Zahrain berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewajarnya membuka semula kes siasatan sekali gus menyiasat dokumen didedahkan bekas pegawai kanan BPR itu untuk tindakan selanjutnya.

''Apa yang penting, SPRM perlu buka semula kes ini untuk membuat siasatan terperinci serta mengkaji semula butir-butir bukti yang telah didedahkan untuk tindakan selanjutnya,'' katanya. - UTUSAB

No comments:

Post a Comment