My Add

Wednesday, 30 May 2012

Prospektus FGVH jawab dakwaan pembangkang - Isa Samad

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Mei, 2012: Semua tohmahan pembangkang mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGVHB) ke Bursa Malaysia akan terjawab semasa pelancaran prospektus penyenaraian tersebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Khamis ini.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (gambar) berkata, pembangkang hanya mahu memutarbelitkan penyenaraian FGVHB itu dan tidak pernah mahu mengakui manfaat yang akan diperoleh golongan peneroka.

"Bila sudah ada prospektus, apa persoalan pun kita boleh jawab.

"Pelbagai dakwaan yang dibuat pembangkang ini adalah cara mereka selepas gagal menghalang penyenaraian FGVHB, macam-macam mereka buat seperti membawa ke mahkamah dan meracuni pemikiran peneroka tetapi tidak berhasil," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian penutup Kem Adik Manjaku Felda Holding di sini hari ini.

Kem selama tiga hari membabitkan 400 kanak-kanak itu adalah anjuran Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Felda Holding yang bermatlamat memberi kesedaran mengenai aspek keselamatan kepada anak-anak kakitangan Felda.

Menurut Mohd. Isa, selain 'durian runtuh' kepada warga Felda baru-baru ini serta pegangan saham dalam FGVHB, para peneroka juga akan mendapat manfaat seumur hidup menerusi tabung amanah yang akan memiliki 20 peratus pegangan saham di dalam FGVHB.

"Kita akan memberi keuntungan kepada 112,635 orang peneroka seumur hidup dan kalau meninggal dunia pun kita beri kepada pewarisnya, selagi Felda wujud dan capai keuntungan, dia akan dapat," katanya.

Mengulas mengenai tanah rizab Melayu yang dipajak kepada Felda bagi penyenaraian itu, Mohd. Isa berkata, keluasan tanah tersebut adalah terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan keseluruhan tanah yang dimiliki Felda.

"Jumlahnya tidak banyak sangat, maklumatnya semua ada dan kita boleh beri jawapan pada Khamis ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment