My Add

Wednesday 30 May 2012

Berundurlah Nik Aziz - Jaafar Shaari

Oleh SYUKRI SHAARI
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Mei, 2012: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dinasihatkan berundur daripada arena politik dan memberi peluang kepada generasi muda dalam parti itu membuktikan kemampuan mereka.

Pengasas Utama Pertubuhan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia, Datuk Seri Jaafar Shaari berkata, Nik Abdul Aziz sewajarnya meletakkan semua jawatan sama ada dalam parti atau sebagai Menteri Besar Kelantan memandangkan beliau sudah terlalu tua untuk terus berpolitik.

Katanya, adalah lebih baik untuk beliau turun ketika masih dihormati berbanding meletakkan jawatan ketika dikeji pelbagai pihak.

"Sudah tua-tua ini, berundurlah. Bagi peluang kepada muka baru, calon yang lebih muda, Pas banyak calon muda berkaliber, biarlah mereka buktikan kemampuan.

"Lagi lama beliau berada di atas, selagi itu parti sukar untuk berkembang kerana kebanyakan keputusan dibuat beliau," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam yang menyifatkan pendekatan kepimpinan Nik Abdul Aziz sebagai 'melampau'.

Sementara itu, berhubung pembatalan hasrat untuk bermuzakarah antara Pas dan UMNO, Jaafar berkata, Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya meletakkan syarat sebelum bermuzakarah kerana ia menjadi faktor usaha murni itu gagal.

"Muzakarah dulu, kemudian baru tengok apa keputusan perbincangan. Kalau ada perkara setuju, setujulah, kalau tidak setuju kata tidak setuju.

"Ini belum apa-apa beliau telah letakkan syarat, tidak boleh macam itu. Ia memberi gambaran bahawa beliau dari awal tidak mahu melakukannya," jelas beliau.

Sementara itu, Penasihat Madrasah Bab al-Khausar, Shahbudin Embun berharap pintu hati Menteri Besar Kelantan itu akan terbuka serta diberi petunjuk untuk melihat kepada perkara yang benar.

Sambil memberikan contoh bekas Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad yang berundur apabila tiba masanya, beliau berkata, Nik Abdul Aziz juga sepatutnya mengambil langkah serupa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment