My Add

Thursday 31 May 2012

Tipu: Bekas pengurus kanan syarikat dilepas, dibebaskan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan bekas pengurus kanan pemasaran dan jualan Majuikan Sdn Bhd, Mohd Khairuddin Abu Bakar daripada pertuduhan menipu sebuah bank Amerika Syarikat membabitkan wang 10 juta (RM40.35 juta).

Hakim Rosenani Abd Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Mohd Khairuddin, 55, membela diri bagi pertuduhan kedua iaitu menggunakan dokumen cagaran palsu.
Rosenani menetapkan 10 Julai untuk Mohd Khairuddin membela diri.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Khairuddin bersama Gazali Rashid, yang sudah meninggal dunia, didakwa menipu Naib Presiden Bank HSBC USA, New York, Stephen Ferrera, dengan memperdayakan dia untuk mempercayai bahawa Majuikan bersetuju menjadi penjamin terhadap permohonan pinjaman 10 juta oleh Malaysian Seabest Sdn Bhd.

Penipuan terbabit mendorong pihak Bank HSBC membuat pembayaran sebanyak 10 juta kepada Malaysian Seabest.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 37 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Khairuddin bersama Gazali didakwa menggunakan tiga dokumen cagaran palsu iaitu sekeping 'Resolusi Lembaga Pengarah Majuikan Sdn Bhd' bertarikh 14 Feb 2006, sekeping 'Promissory Note Malaysian Seabest Sdn Bhd' dan sekeping surat iringan yang kedua-duanya bertarikh 1 Mac 2006 untuk tujuan penipuan terbabit.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majuikan adalah anak syarikat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No 22, Tingkat 33, Jalan 4/146, Metro Centre, Bandar Tasik Selatan, Cheras, antara 14 Februari dan 22 Mac 2006.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 9 Mei 2011, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya C.Vignesh Kumar mengemukakan seramai 25 saksi.

Mohd Khairuddin diwakili peguam Shamsul Sulaiman dan Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim.

Ketika ditanya pemberita mengenai punca kematian Gazali, peguam Shamsul memberitahu Gazali dipercayai meninggal dunia akibat angin ahmar, tiga hari sebelum tarikh perbicaraan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment