My Add

Wednesday, 30 May 2012

Mandat rakyat penting - PM

*NAJIB memberi ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia 2012 di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur, semalam. -UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Mei, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mandat rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) amat penting terutama bagi meneruskan usaha melaksanakan setiap program transformasi yang dirancang.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar tanpa mandat yang kuat daripada rakyat ia hanya akan melambatkan pelaksanaan agenda tersebut sekali gus membantutkan hasrat melihat Malaysia muncul sebagai negara berpendapatan tinggi serta maju pada 2020.

Selain itu, Najib turut mengingatkan rakyat supaya bijak menilai khususnya membabitkan janji serta cadangan pembangkang dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana jelas rancangan-rancangan dikemukakan lebih bersifat populis, tidak realistik serta diragui.

"Saya amat meragui setiap janji, rancangan serta cadangan mereka. Sebagai contoh, mereka mahu menurunkan harga petrol dalam tempoh satu malam sahaja yang mana langkah ini tidak pernah dilakukan mana-mana kerajaan di dunia.

"Untuk makluman, kerajaan memperuntukkan lebih RM2 bilion sebulan untuk subsidi petrol. Jika harga bahan api ini diturunkan lagi, kerajaan perlu menambah peruntukan subsidi antara RM3 bilion hingga RM4 bilion sebulan. Apa akan jadi dengan kewangan negara?," katanya.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Datuk Seri Johan Raslan yang juga Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dalam sesi dialog selepas menyampaikan ucaptama pada program Invest Malaysia 2012, di sini hari ini.

Najib berkata, rancangan pembangkang untuk menghapuskan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM45 bilion dan bayaran tol serta menetapkan gaji minimum sebanyak RM4,000 sebulan juga jelas bersifat populis.

Katanya, semua janji itu tidak boleh dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Sebaliknya, beliau menegaskan, kerajaan BN akan terus menawarkan program-program lebih realistik serta mempunyai wawasan jelas seperti program-program transformasi yang sedang giat dilaksanakan.

"Saya berjanji hasil mandat yang diberikan rakyat, saya serta rakan-rakan dalam kerajaan akan bekerja lebih keras dalam meningkatkan hidup rakyat dan demi mencapai matlamat negara maju menjelang 2020," katanya.

Sementara itu, menjawab satu soalan lain beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang begitu sesuai untuk didiami selain destinasi pelaburan terbaik di rantau ini.

"Saya telah mengunjungi banyak negara di dunia dan apa yang boleh saya katakan Malaysia adalah negara terbaik dan hebat bagi saya.

"Dengan wujudnya kepelbagaian agama, etnik, kebudayaan serta cara hidup, kita berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang amat menarik termasuk sebagai destinasi terbaik bagi tujuan pelaburan serta perniagaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment