My Add

Wednesday, 30 May 2012

Kastam rampas 11.146kg syabu, 2 wanita ditahan

BUKIT KAYU HITAM, RABU, 30 Mei, 2012: Syabu seberat 11.146 kilogram bernilai lebih RM3 juta dirampas daripada dua wanita tempatan dipercayai keldai dadah sindiket antarabangsa di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di sini, semalam. 

Pengarah Jabatan Kastam Kedah, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif, berkata kedua-dua wanita itu yang berasal dari Kuching, Sarawak berumur 26 dan 24 tahun, tiba dengan bas dari Thailand, dan masing-masing ditahan pada jam 12.10 tengah hari dan 12.45 tengah hari.

Katanya, anggota kastam yang curiga dengan keadaan wanita berumur 26 tahun yang membawa beg besar semasa menjalani pemeriksaan di Unit Bas/Lorong Pejalan Kaki sebaik tiba di kompleks itu kira-kira jam 11.55 pagi, melakukan pemeriksaan rapi.

Hasil pemeriksaan, tiga bungkusan serbuk hablur berwarna putih disyaki syabu (methamphetamine) seberat 5.5kg ditemui dilekatkan bawah lapisan batang penarik beg dan kedua-dua sisi beg, kata Abdul Aziz pada sidang akhbar di sini, hari ini. 

Beliau berkata, pegawai kastam kemudiaannya membuat risikan balas ke atas penumpang yang melalui pemeriksaan dan mengesan seorang lagi wanita berumur 24 tahun membawa beg yang bentuk dan warnanya serupa dengan beg wanita pertama. 

"Pemeriksaan rapi mendapati syabu seberat 5.646kg disorok pada tempat sama dalam beg itu dan rampasan itu adalah yang terbesar setakat ini," katanya. 

Katanya, kastam yakin berdasarkan modus operandi kedua-dua wanita itu, mereka terbabit dengan sindiket sama di samping duduk bersebelahan dalam bas dari Bangkok ke Hatyai. Mereka menukar bas di Hatyai untuk ke Kuala Lumpur. 

Pasport antarabangsa kedua-dua wanita itu menunjukkan mereka menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 26 Mei ke Bangkok dan pulang menaiki bas dipercayai untuk mengelak dikesan pihak berkuasa, katanya. 

Abdul Aziz berkata, berdasarkan pasport kedua-dua wanita itu, mereka kerap mengelilingi dunia namun pekerjaan sebenar mereka tidak diketahui dan beberapa kali terbang ke Bangkok. 

Katanya, kastam mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman kedua-dua wanita itu selama tujuh hari mulai hari ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment