My Add

Thursday, 31 May 2012

Polis pantau pergerakan suspek utama kes culik Nayati

GEORGETOWN, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) sedang memantau pergerakan seorang suspek yang melarikan diri ke Eropah dan disyaki dalang dalam kes penculikan kanak-kanak rakyat Belanda, Nayati Shamelin Moodliar. 

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, berkata pihaknya juga sudah mengenalpasti lokasi lelaki berusia 24 tahun itu bersembunyi.

"Kami sedang memantau pergerakan dia dan kami percaya lelaki itu akan pulang ke Malaysia dalam tempoh terdekat berikutan kos yang tinggi untuk tinggal di sana (Eropah)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan 'High Profile Policing' di Quensbay Mall, di sini hari ini.

Suspek utama yang berusia 24 tahun itu melarikan diri ke Eropah bersama isterinya selepas menyedari dia diburu polis. 

Nayati, 12, diculik pada 27 April lepas ketika berjalan berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont' Kiara berhampiran rumahnya. Kanak-kanak lelaki itu ditemui selamat di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 7.55 pagi, 3 Mei. 

Sementara itu, Hadi berkata polis akan terus meningkatkan usaha mengurangkan kadar jenayah, terutama di kawasan tumpuan melalui kerjasama dengan komuniti setempat di seluruh negara menerusi pelaksanaan High Profile Policing. 

"Kami mahu kurangkan jenayah dan program ini (High Profile Policing) sudah berjaya mengurangkan indeks jenayah kerana kehadiran polis di semua tempat terutama kawasan berisiko jenayah boleh dilihat," katanya. 

Beliau berkata, orang ramai juga berpuas hati dengan program itu kerana mereka percaya tahap keselamatan meningkat berikutan kehadiran polis di tempat awam. 

"Maklum balas yang kami terima daripada orang ramai juga mendapati mereka berasa selamat dengan kehadiran polis, itulah matlamat kami dan usaha ini akan diteruskan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment