ALOR SETAR, RABU, 30 Mei, 2912: Sepasang suami isteri warga Pakistan yang cuba diseludup masuk ke negara ini berjaya dikesan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di Bukit Kayu Hitam, semalam.
Pasangan tersebut berusia 30 dan 32 tahun ditahan kira-kira jam 6.30 petang.
Menurut Timbalan Komander Operasi UPP Kedah, Noor Mohamed Shaik Alaudin, mereka dipercayai datang dari Lahore, Pakistan dan tiba di Bangkok, Thailand, pada 21 Mei lalu sebelum masuk ke negara ini melalui lorong tikus Padang Golf Black Forest, Bukit Kayu Hitam.
"Pasangan ini dibawa masuk oleh seorang lelaki warga India yang bekerja sebagai tukang kimpal di sini dan dia pula diupah satu sindiket yang beroperasi di Bukit Kayu Hitam," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Noor Mohamed berkata, warga India tersebut berusia 53 tahun yang memiliki dokumen perjalanan sah dan mempunyai seorang isteri rakyat tempatan.
Pasangan suami isteri itu dipercayai akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk bekerja, katanya.
Beliau berkata, sindiket tersebut aktif beroperasi di sempadan Malaysia-Thailand.
UPP turut menyita sebuah kereta Honda yang dipercayai akan digunakan untuk membawa pasangan PATI tersebut ke Kuala Lumpur, katanya.
Noor Mohamed berkata, lelaki warga India itu akan didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Akta Anti Pemerdagangan Orang serta Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Kesalahan di bawah akta tersebut boleh membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya.
Pasangan suami isteri itu pula ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama yang boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment