My Add

Wednesday 30 May 2012

Lima inisiatif baru negara kekal kompetitif

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Mei, 2012: Kerajaan hari ini mengumumkan lima inisiatif baru bagi memastikan pasaran modal negara terus kekal kompetitif dalam memacu pertumbuhan agenda nasional dan ekonomi negara pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan itu merupakan isu utama yang perlu ditangani segera supaya ia tidak memberi risiko kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi negara.

Inisiatif tersebut ialah penubuhan Pasukan Petugas Pasaran Modal yang diketuai oleh Menteri Kewangan Kedua, bertujuan memberi cadangan dan mengenal pasti program menyelaraskan perundangan dan proses pengurusan pasaran.

Berucap ketika menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia 2012 di sini hari ini, beliau berkata, proses pelarasan tersebut akan diselesaikan pada akhir suku ketiga dengan rangka kerja penyatuan pasaran dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan.

Katanya, bagi memberi perlindungan kepada para pelabur dan orang awam, Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah diminta meningkatkan skim pampasan dalam pasaran sekuriti dengan memperuntukkan sejumlah RM420 juta bagi Dana Pampasan Pasaran Modal.

Beliau turut mengumumkan penubuhan yayasan baru oleh Bursa Malaysia bagi menangani jurang pertumbuhan dalam pasaran dengan fokus kepada kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pasaran inovatif dan pembangunan bakat baru dan sedia ada.

Menurut beliau, sebagai sokongan, Dana Pembangunan Pasaran Modal dengan geran sebanyak RM100 juta akan diberikan kepada yayasan tersebut dan akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Inisiatif seterusnya yang diumumkan hari ini ialah syarikat-syarikat yang menyertai program Skim Latihan 1Malaysia mulai 1 Jun tahun ini bakal menikmati pengurangan cukai berganda ke atas insentif elaun dan perbelanjaan latihan.

Najib berkata, insentif itu diperkenalkan untuk memastikan negara memiliki tenaga kerja dan graduan baru berkemahiran tinggi dalam mencapai potensi penuh modal insan.

"Inisiatif tanggungjawab korporat yang diterajui oleh sektor swasta itu akan meningkatkan jumlah graduan dalam pekerjaan, khususnya graduan dari kawasan pedalaman dan keluarga yang berpendapatan rendah," katanya.

Bagi mempromosi pelbagai gender dalam pekerjaan dan menyokong wanita yang mahu bekerja semula selepas berehat dalam tempoh tertentu, kerajaan mengumumkan akan memberikan pengurangan cukai berganda mulai 2013 kepada syarikat-syarikat yang menyediakan perbelanjaan latihan untuk mereka.

"Saya menggalakkan syarikat-syarikat senarai awam untuk mengemukakan polisi ini dalam laporan tahunan, umpamanya aturan kerja fleksibel yang telah dilaksanakan bagi menyokong pembabitan wanita dalam pekerjaan.

"Saya yakin dengan cara itu akan membantu amalan terbaik korporat Malaysia.

"Selaku pemangku Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya akan meminta kementerian terbabit bekerjasama dengan Talent Corporation untuk menyediakan platform baru bagi korporat untuk berkongsi amalan yang telah berjaya dilakukan," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment