My Add

Wednesday 30 May 2012

Nilai bukan menerusi debat

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Mei, 2012: Rakyat harus menilai sendiri kredibiliti kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui segala perancangan yang telah dan akan dilaksanakan dan bukan melalui perdebatan di antara pemimpin.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kemampuan dan kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga wajar dinilai menerusi pelbagai idea yang dikemukakan beliau dalam memastikan negara dapat membangun dengan baik.

"Kerajaan BN telah menguruskan negara terutama dalam sektor ekonomi dengan baik lebih daripada apa yang kita sendiri harapkan. Idea perdebatan antara Perdana Menteri dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan satu perkara yang harus dilakukan.

"Biar rakyat sahaja menghakimi kami (kerajaan BN) melalui apa yang kami lakukan, bukannya melalui perdebatan. Rakyat sendiri boleh menilai sejauh mana pencapaian BN terutama kepimpinan Najib walaupun baru tiga tahun beliau menjadi Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Mara IBS dan Hartanah (MIPEX) 2012 di ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini hari ini.

Mohd. Shafie diminta mengulas keperluan mengadakan debat antara Perdana Menteri dan Anwar berhubung isu-isu politik tanah air.

Cadangan debat itu sebelum ini dilontarkan pensyarah oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Mazlee Malik yang bertindak sebagai moderator debat bertajuk Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli yang diadakan baru-baru ini.

Berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa keadaan BN masih lemah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dan perlu menangguhkannya sehingga selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Mohd. Shafie berkata, Dr. Mahathir boleh memberi pandangan, namun keputusan ditetapkan oleh Perdana Menteri.

"Itu pandangan beliau sebagai seorang negarawan yang berpengalaman memimpin negara selama lebih 20 tahun. Kita boleh ambil perhatian, tetapi yang akan buat ketetapan ialah Perdana Menteri," katanya.

Katanya, walaupun waktu pilihan raya umum itu masih menjadi persoalan, apa yang lebih penting adalah kerja keras jentera parti dengan memenangi hati rakyat seterusnya membela nasib mereka.

"Saya yakin setelah melalui proses yang ada seperti mengharungi beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, BN sebenarnya lebih daripada bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment