My Add

Monday 3 September 2012

Benih semangat kebencian - Shafie Apdal

KUANTAN, AHAD, 02 September, 2012: Tindakan biadab peserta Perhimpunan Janji Bersih memijak gambar Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor merupakan benih-benih daripada semangat kebencian tanpa batasan yang diterapkan pembangkang di kalangan pengikut-pengikutnya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau kesal dengan tindakan biadab tersebut yang bukan sahaja tidak bertamadun malah melampaui batas-batas kehidupan sebagai seorang manusia.

"Ini satu peradaban yang membatasi akal manusia yang seharusnya tidak berlaku kerana kita sedar dan tahu penghormatan seseorang individu itu harus ada batas daripada segi menghormati mana-mana pihak.

"Kita dalam berpolitik pun bukan kita suka dengan Lim Kit Siang (Penasihat DAP), tapi tidak pernah saya pijak gambar Kit Siang, kita pun tak suka dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tapi tak perlu lah kita pijak gambar dia.

"Waima, banyak perbuatan mereka (pembangkang) seperti lambang parti yang diletak di lebuh raya, di jambatan yang kita bina, kita biarkan pun, tak ada kita simbah cat seperti mereka lakukan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Wan Adnan Wan Mamat.

Mingguan Malaysia di muka depan akhbar tersebut hari ini, menyiarkan gambar peserta Perhimpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka pada malam sambutan ambang merdeka pada 30 Ogos lalu sedang memijak gambar Perdana Menteri dan isteri.

Aksi tidak senonoh mereka kini tersebar secara meluas di Internet dan mengundang kemarahan pelbagai pihak yang mendesak supaya pihak yang tidak bertanggungjawab itu dikenakan tindakan tegas.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, rakyat seharusnya bijak menilai siapa sebenarnya pembangkang yang bukan sahaja tidak menghormati pemimpin negara malah raja-raja Melayu juga tidak sanjung.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan DAP Pulau Pinang untuk membentangkan rang undang-undang anti-lompat parti pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 25 September ini beliau berkata, ia tidak selari dengan sistem demokrasi di negara ini.

"Langkah itu bukan sahaja pencabulan kepada sistem demokrasi tetapi turut bercanggah dengan prinsip demokrasi kerana kebebasan individu itu harus ada," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment