My Add

Monday 3 September 2012

BN P.Pinang kutuk tindakan pijak gambar PM, tukar bendera

  Teng Chang Yeow
GEORGE TOWN- Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini menyifatkan tindakan segelintir pihak memijak gambar pemimpin negara selain mahu menukar Jalur Gemilang sebagai budaya liar.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata perbuatan itu tidak boleh diterima, walau apa juga alasan yang diguna pihak terbabit untuk mewajarkan tindakan mereka.

Sekalipun tidak suka dengan pemimpin, mereka tidak harus melepaskan rasa tidak geram dengan menghina gambar pemimpin, manakala Jalur Gemilang pula lambang identiti setiap rakyat Malaysia, katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau mengulas tindakan peserta Himpunan Janji Bersih pada malam ambang Hari Kemerdekaan di ibu kota Khamis lepas, yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Segelintir peserta perhimpunan juga dilapor bangga mengibarkan bendera yang dikatakan sebagai pengganti Jalur Gemilang.

Dalam perkembangan lain, Teng berkata pihaknya menyokong cadangan Pemuda BN negeri untuk membeli tanah seluas 0.45 hektar di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini, daripada kerajaan negeri.

Katanya pembelian itu adalah sebagai tawaran balas kepada kerajaan negeri yang mahu menjual tanah tersebut kepada syarikat swasta.

Beliau berkata bagaimanapun setakat ini kerajaan negeri masih belum mengemukakan sebarang tawaran kepada Pemuda BN.

Sebelum ini, Pemuda BN menyatakan minat untuk membeli semula tanah berkenaan daripada kerajaan negeri bagi tujuan projek perumahan kos rendah. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment