Dennis D'Cruz |
Menafikan kerajaan menggunakan 'twitter bot' untuk memanipulasi jumlah tweet yang direkodkan, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, hadirin di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam itu saja sudah mencecah 100,000, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai ratusan ribu pengikut twitter, yang kini melebihi 870,000.
"Sekiranya mereka tweet berulang kali ditambah dengan tweet daripada pengguna seluruh negara, maka jumlah tersebut tidak meragukan," katanya selepas merasmikan Buku Kembara Merdeka Minnalfm 2012 di sini, hari ini.
Mengulas laporan sebuah portal yang menyiarkan kenyataan sebuah agensi penyelidik media bebas, PoliTweet.org kononnya terdapat penggunaan 'bot' di laman “Tweet #Merdeka55”, D'Cruz berkata, pihak kementerian melakukan perancangan terperinci bagi memastikan kejayaan rekod tersebut.
"Orang hanya boleh bercakap tetapi kami (kementerian) merancang dengan rapi, malah kami mengadakan perjumpaan selama sebulan untuk acara ini," katanya.
"Semua petugas kementerian juga memberi kerjasama dengan mengajak pengikut dan rakan melalui akaun twitter masing-masing untuk sama-sama menjayakan tweet ini sehingga kita berjaya melepasi sasaran satu juta yang ditetapkan sebelumnya," katanya.
D'Cruz berkata, dakwaan tersebut sengaja dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan iri hati dengan sokongan padu yang ditunjukkan rakyat kepada Perdana Menteri. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment