My Add

Thursday 6 September 2012

Dua peserta Janji Bersih serah diri

Oleh ANGELINA SINYANG
KUALA LUMPUR, RABU, 05 September, 2012: Seorang model sambilan dan seorang pelajar kolej yang dikehendaki polis kerana terlibat melakukan pelbagai kesalahan termasuk menghina pemimpin negara dan mengibar bendera baharu bagi menggantikan Jalur Gemilang ketika berhimpun di Dataran Merdeka pada 30 Ogos lalu, tampil menyerah diri hari ini.

Model sambilan berusia 19 tahun yang gambarnya memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disiarkan di muka hadapan Mingguan Malaysia pada Ahad lalu itu, menyerah diri di Balai Polis Sentral, Johor Bharu pada pukul 11 pagi.

Remaja lelaki berusia 19 tahun itu pula yang merupakan pelajar sebuah kolej di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor turut berbuat demikian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada pukul 1 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kedua-dua remaja yang menyerah diri itu merupakan antara 11 peserta Perhimpunan Janji Bersih yang dikehendaki polis dan gambar mereka disiarkan dalam surat khabar kelmarin.

"Hari ini, ada dua peserta yang gambar mereka disiarkan dalam akhbar menyerah diri kepada polis iaitu seorang perempuan menyerah diri di Balai Polis Johor Bharu dan seorang lelaki menyerah diri di IPD Dang Wangi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, polis menahan seorang pelajar kolej swasta di Taman Maluri, Cheras di sini, yang turut terlibat melakukan kesalahan semasa perhimpunan tersebut.

Pelajar berusia 19 tahun itu yang ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari dipercayai individu menunjukkan punggungnya pada gambar Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor semasa perhimpunan tersebut.

Chin Wah berkata, pelajar terbabit bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi, setelah diambil keterangannya.

Beliau berkata, setakat ini, polis menerima 172 laporan mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu di Johor Bharu, peguam Norman Fernandez yang mewakili model sambilan tersebut memberitahu, anak guamnya menyerah diri selepas menyedari gambarnya yang dikaitkan dengan insiden tersebut dipaparkan di akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini.

Norman yang juga Timbalan Pengerusi DAP Johor berkata, gadis terbabit bukan ahli DAP tetapi hadir ke pejabat mereka untuk meminta pertolongan.

"Sebelum dibawa ke Kuala Lumpur, pihak polis membawa gadis berkenaan ke rumahnya di Taman Puteri Wangsa, Johor Bharu untuk mengambil pakaian yang dipakai ketika menyertai perhimpunan tempoh hari," katanya ketika ditemui di hadapan Balai Polis Sentral, Johor Bharu hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Abdul Samad Salleh berkata, gadis itu ditahan selepas dia menyerah diri dan dibawa ke ibu negara untuk siasatan lanjut.

"Dia dikehendaki polis berhubung satu laporan yang disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, Seksyen 290, 504 dan 509 Kanun Keseksaan," katanya.

Pihak polis sebelum ini mendedahkan 11 keping gambar individu yang terbabit menyertai himpunan tersebut agar menyerah diri untuk membantu siasatan polis terhadap laporan yang dibuat di Balai Polis Tun H.S Lee, Kuala Lumpur. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment