My Add

Wednesday 5 September 2012

Gadis serah diri bantu siasatan insiden hina gambar pemimpin

JOHOR BAHRU, RABU, 05 September, 2012:: Seorang gadis yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan insiden memijak gambar pemimpin negara pada malam sambutan ambang Merdeka, 30 Ogos, menyerah diri di Balai Polis Sentral, di sini, hari ini.

Model sambilan berusia 19 tahun itu yang berasal dari Taman Puteri Wangsa, di sini, tiba di balai polis berkenaan kira-kira jam 11 pagi dengan diiringi peguam, Norman Fernandez dan beberapa rakan.

Dia kemudian dibawa keluar dari balai berkenaan kira-kira jam 1.05 petang dan menaiki sebuah kereta untuk dibawa ke ibu negara.

Fernandez yang juga Timbalan Pengerusi DAP Johor ketika ditemui berkata, gadis itu tampil menyerah diri selepas menyedari gambarnya yang dikaitkan dengan insiden berkenaan dipaparkan di akhbar.

"Gadis itu bukan anggota DAP tetapi dia tampil kepada kami untuk meminta pertolongan. Dia dibawa polis ke rumahnya untuk mengambil pakaian berwarna merah yang dipakai pada hari tersebut sebelum ke Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Abdul Samad Salleh mengesahkan gadis itu ditahan selepas dia menyerah diri dan dibawa ke ibu negara untuk siasatan lanjut.

"Dia dikehendaki polis berhubung laporan yang dibuat di Balai Tun H S Lee Gadis itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, Seksyen 290, 504 dan 509 Kanun Keseksaan," katanya.

Dua hari lalu, Polis Kuala Lumpur mendedahkan 11 keping gambar individu yang dirakam terbabit dalam insiden berkenaan yang berlaku pada himpunan janji demokrasi pada malam ambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 negara.

Semalam, seorang pelajar lelaki berumur 19 tahun, dari sebuah kolej swasta di Cheras, Kuala Lumpur turut ditahan bagi membantu siasatan selepas dia tiba dari Batu Pahat, bersama kedua-dua ibu bapanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment