My Add

Tuesday 25 September 2012

Kes PKFZ: Ada maklumat yang palsu - Dr. Ling Sik 

KUALA LUMPUR, SELASA, 25 September, 2012: Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa menipu kerajaan Malaysia hari ini bersetuju bahawa surat yang dihantarnya kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mengandungi isi kandungan yang palsu.

Dr Ling, 68, berkata surat bertarikh 29 Jun 2002 yang disediakan oleh bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Abdul Rahman Mohd Noor itu mengandungi kadar faedah dan ia berdasarkan keputusan mesyuarat yang diadakan sebelum itu.

Beliau turut mengakui hanya menandatangani surat tersebut tanpa mengetahui kandungannya kerana mempercayai pegawai terbabit.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah ketika pemeriksaan balas tidakkah beliau menyoal kakitangannya dan meneliti terlebih dahulu, Dr Ling berkata: “Jika anda tidak percayakan (pegawai) anda akan mempunyai terlalu banyak kerja untuk dilakukan setiap hari.

"Siapa kata saya tidak pernah tanya? Mereka melaporkan kepada saya setiap hari, ia (projek) berjalan lancar."

Dr Ling bagaimanapun tidak bersetuju bahawa beliau telah menipu Dr Mahathir dan sengaja menghantar surat tersebut walaupun mengetahui ianya mengandungi maklumat yang palsu.

Surat bertajuk "Cadangan Pengambilan Balik Tanah di Pulau Indah" itu ada menyatakan tentang rundingan dengan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) berdasarkan kaedah "sedia membeli dan sedia menjual" yang menetapkan kadar pembelian tanah sebanyak RM25 sekaki persegi (skp) dan kadar faedah 7.5 peratus setahun.

Ia juga menyatakan bahawa nilaian tersebut telah dipersetujui oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Turut dilampiran bersama surat tersebut ialah harga keseluruhan tanah seluas 999.5 ekar berjumlah RM1.088 bilion. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment