My Add

Saturday 8 September 2012

Pakatan dakwa BN guna politik lapuk takutkan pengundi

  Tian Chua
NURUL AINI MOHAMED ALI
SHAH ALAM, SABTU, 08 September, 2012: Pakatan Rakyat (PR) menegaskan Barisan Nasional (BN) kini menggunakan politik lapuk dan tidak relevan dengan menakutkan para pengundi supaya tidak menyokong mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 atas alasan kononnya masa depan negara tergadai jika memilih perikatan tersebut.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, persaingan politik merupakan perkara biasa atau normal dalam arena politik dan BN tidak seharusnya menggunakan kenyataan-kenyataan lapuk untuk menakutkan para pengundi.

“Perkara ini tidak pernah menjadi satu isu jika BN mengeluarkan kenyataan yang jika undi PR, masa depan negara akan tergadai.

“Ini bermakna BN sendiri yang sedang berada dalam ketakutan kerana mereka takut kehilangan kuasa jika PR dapat mengambil alih tampuk pemerintahan negara,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Kelmarin, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam meminta rakyat tidak sesekali menggadaikan masa depan negara dengan cuba memberi peluang atau menguji keupayaan pembangkang memerintah negara.

Katanya, rakyat perlu memastikan keputusan yang dibuat akan membolehkan kerajaan sedia ada meneruskan segala agenda pembangunan menuju ke arah negara maju selain mengekalkan kestabilan dan keamanan negara.

Tian Chua turut membidas Subramaniam dengan berkata kenyataan itu sekadar mahu meraih undi rakyat semata-mata.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub juga bertegas supaya BN perlu mengeluarkan hujah berdasarkan fakta yang mampu menarik perhatian rakyat.

“Kenyataan menteri (Subramaniam) jelas menunjukkan mereka terdesak untuk meraih undi rakyat hingga sanggup memberi ingatan yang tidak masuk akal kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau juga berkata, "undi terletak sepenuhnya di tangan rakyat jadi, tidak perlu timbul isu masa depan negara bakal terjejas jika mengundi pembangkang."

“Saya juga dapat melihat yang BN sendiri mula hilang keyakinan kepada undi yang bakal diraih dalam PRU13 nanti. Buktinya, hingga kini Parlimen masih belum dibubarkan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw pula yakin yang rakyat kini semakin yakin dengan pemerintahan yang dibuat oleh PR dan oleh itu, tidak timbul soal masa depan negara bakal tergadai jika menyokong PR.

“Saya yakin rakyat bijak memilih dan para pengundi akan memilih pemerintahan yang lebih cekap, telus dan amanah. Ini prinsip yang PR amalkan selama ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment