My Add

Wednesday 12 September 2012

Pandelela terima tawaran belajar di Universiti Malaya

PUTRAJAYA, RABU, 12 September, 2012: Ratu terjun negara Pandelela Rinong hari ini menerima surat tawaran ke Universiti Malaya (UM) dan insentif khas RM10,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas kejayaannya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik London, baru-baru ini.

Surat tawaran dan insentif itu disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis meraikan kecemerlangan atlit institusi pengajian tinggi (IPT) di Menara KPT di sini, hari ini.

Pandelela yang ditemui pemberita selepas majlis terbabit berbesar hati kerana mendapat dua 'hadiah' yang tidak disangkanya itu.

"Saya ingin berterima kasih kepada KPT dan UM kerana memberi saya insentif serta surat tawaran ini.

"Saya yakin insentif ini akan memberikan saya semangat untuk mencatatkan kejayaan dalam bidang sukan serta pelajaran," kata anak kelahiran Sarawak berusia 19 tahun itu.

Beliau yang akan memulakan pengajian peringkat ijazah dalam jurusan Sains Sukan di UM awal tahun depan, yakin dapat mengimbangi pelajaran serta pembabitannya dalam sukan terjun.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan insentif kecemerlangan KPT kepada tiga pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang memenangi pingat perak dalam acara compound berpasukan wanita pada Kejohanan Memanah Universiti Dunia di Cordoba, Sepanyol dari 4-7 Julai lepas.

Mereka ialah Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Norhayati Al-Madihah Hashim, kedua-duanya dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Fatin Nadira Hassan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dengan setiap seorang menerima RM3,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment