My Add

Wednesday 5 September 2012

Pas tentukan kedudukan Nasha, bukan orang lain: Salahuddin

NURUL AINI MOHAMED ALI
SHAH ALAM, RABU, 05 September, 2012: Pas menegaskan tiada pihak atau individu yang boleh campur tangan mempengaruhi keputusan Majlis Syura melibatkan nasib bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa.

Sehubungan itu kata Pas, sebarang khabar angin berkenaan penglibatan pihak luar atau individu dari parti lain adalah fitnah.

Majlis Syura Pas akan mula bersidang 9 September ini.
Salahuddin Ayub

Naib Presiden, Salahuddin Ayub berkata, khabar angin yang mengatakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan campur tangan dalam keputusan Majlis Syura melibatkan nasib Nasharudin merupakan fitnah yang tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim dalam petikan sebuah akhbar percaya Ahli Parlimen Bachok itu bakal menerima nasib serupa seperti bekas Naib Presidennya, Datuk Dr. Hasan Ali yang kini berjaya disingkirkan daripada terus membuat 'kacau' di dalam parti.

Menurut Salahuddin, kenyataan Zamil tidak berasas sama sekali kerana sepanjang perjuangannya lebih 30 tahun bersama Pas, sebarang keputusan Majlis Syura tidak pernah melibatkan pengaruh orang luar.

“Adalah menjadi tanggungjawab Majlis Syura bagi menentukan nasib Nasha nanti. Penglibatan atau campur tangan pihak selain dari Pas merupakan satu tuduhan yang tidak benar sama sekali,” tegas Salahuddin.

Tambah beliau, Pas meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan melibatkan Nasharudin.

“Kita tunggu saja keputusan Majlis Syura nanti. Penglibatan pihak luar berhubung keputusan Majlis Syura satu fitnah,” tegas beliau. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment