My Add

Saturday 8 September 2012

Program mesra rakyat Perlis dapat sambutan

KANGAR, SABTU, 08 September, 2012: Program Mesra Rakyat peringkat negeri Perlis yang berlangsung di Dewan 1 Malaysia Simpang Empat dekat sini mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 3,000 tetamu menghadirinya.

Program yang diterajui Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) antara lain bertujuan merapatkan hubungan pelbagai pihak termasuk pemimpin, masyarakat dan jabatan serta agensi kerajaan pada suasana Aidil Fitri.

Pengarah Kemas Perlis, Faisal Long berkata, jamuan hari raya yang turut disertai oleh 16 jabatan dan agensi kerajaan itu menjadi acara utama pada program itu.

Lebih 300 anggota Kemas seluruh Perlis turut membantu menjayakan program yang dihadiri kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang.

Dalam ucapannya, Md Isa gembira dengan sambutan pemimpin, orang ramai dan jabatan serta agensi pada program itu yang jelas membuktikan semangat perpaduan begitu kental di kalangan pelbagai pihak di negeri ini.

Beliau berharap semangat perpaduan yang sedia wujud itu dipertahankan kerana melalui perpaduan dan kebijaksanaan kepimpinan negara ia akan menjamin kemakmuran negara yang berterusan.

Sementara itu, Shahidan yang turut berucap di majlis itu berharap semua pihak berganding bahu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kekal menerajui negara ini. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment