My Add

Wednesday 12 September 2012

Tujuh individu ditahan, dadah RM68 juta dirampas

MUAR, RABU, 12 September, 2012: Polis Johor menahan tujuh suspek dan merampas dadah seberat 1.17 tan metrik bernilai RM68 juta, iaitu rampasan terbesar di Johor setakat ini, menerusi beberapa operasi di sekitar bandar ini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata operasi dilakukan di tiga unit pangsapuri di Pangsapuri Pemandang Tanjung, Jalan Junid dan dua rumah di sekitar kawasan itu pada 6.30 pagi.

"Suspek lima lelaki dan dua wanita yang berumur 24 hingga 50 tahun itu dipercayai terlibat dalam sindiket mengedar dadah dengan menjadikan dua unit rumah di pangsapuri itu sebagai makmal memproses barangan larangan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, di sini hari ini.

Beliau berkata dadah yang dirampas ialah 34.045 kilogram syabu, heroin (13.915 kg), ketamin (41.825 kg), ecstasy (392.540 kg), Eramine 5 (30,500 biji) dan kafein (698.875 kg).

Selain pelbagai peralatan memproses dadah, polis turut merampas sepucuk pistol dan tujuh butir peluru, wang tunai RM9,268, barangan kemas bernilai RM6,704, sebuah Toyota Estima dan Peugeot, katanya.

Katanya dadah yang dipercayai untuk pasaran sekitar negeri ini, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan luar negara itu mampu menampung 2.2 juta penagih.

Mohd Mokhtar berkata, sebuah daripada pangsapauri terbabit dijadikan tempat menternak ikan kelisa untuk jualan dengan dilengkapi lebih 100 akuarium untuk mengaburi mata jiran dan pihak berkuasa.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati tiga daripada lima lelaki serta dua wanita berkenaan positif dadah jenis metaphetamin.

"Semakan rekod mendapati dua daripada lima lelaki itu juga mempunyai kesalahan lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 335 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya semua yang ditahan itu direman sehingga Ahad ini dan polis menggiatkan usaha untuk mengesan saki-baki anggota sindiket itu yang masih bebas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment