Malaysia nafi sorok maklumat, tidak telus
KUALA LUMPUR, AHAD, 16 Mac, 2014: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan kerajaan akan bersikap telus dan telah memberitahu segala maklumat yang telah disahkan berhubung kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu.
Beliau menegaskan, kerajaan telah sehabis telus sehingga sanggup mengetepikan kepentingan negara apabila berkongsi data pasukan tentera dalam usaha mengesan pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu.
Itu adalah arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari awal lagi, bahawa kita akan menjadi setelus yang boleh namun dengan syarat maklumat yang telah disahkan dan tidak menjejaskan siasatan.
Macam mana kita boleh sembunyikan maklumat apabila melibatkan nyawa orang yang kita belum temui," katanya dalam satu sesi temuramah eksklusif dengan wartawan CCTV English Channel, James Chau semalam.
Hishammuddin berkata, bagi berlaku adil kepada siasatan dan keluarga mangsa, hanya maklumat yang telah disahkan akan dikeluarkan oleh kerajaan supaya maklumat itu mempunyai kredibiliti dan diyakini.
Katanya, kerajaan tidak mahu memberikan harapan palsu kepada keluarga mangsa dengan mengeluarkan maklumat yang tidak pasti yang hanya berdasarkan khabar angin.
Saya beri jaminan kepada keluarga penumpang di China, kalau siasatan mengambil masa dua tahun atau 20 tahun sekali pun, saya akan lakukannya," katanya.
Beliau berkata, walaupun sebahagian media memberikan laporan negatif terhadap Malaysia, keadaan itu tidak menjejaskan fokus kerajaan untuk terus mencari pesawat tersebut.
Apa jua isu di luar sana, keutamaan saya selaku menteri bertanggungjawab adalah untuk menemukan pesawat itu, mendapatkan kotak hitam dan punca kejadian. Tumpuan kita tidak sepatutnya terganggu dengan perkara-perkara lain," katanya.
Ketika ditanya oleh wartawan tersebut kenapa kerajaan tidak menggunakan istilah pesawat itu telah dirampas, Hishammuddin berkata, ini kerana maklumat bahawa seseorang di dalam pesawat telah mematikan sistem komunikasi MH370 adalah penemuan baharu yang telah disahkan.
Itu baharu dan kita konsisten untuk bersikap telus dalam hal ini dengan mengeluarkan maklumat telah disahkan dan kita juga perlu pasti apa yang sebenarnya berlaku," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment