Rakyat Malaysia di New York anjur solat hajat untuk MH370
NEW YORK, SELASA,18 Mac,2014: Berada jauh dari tanah air jelas tidak melunturkan semangat persaudaraan rakyat Malaysia di kota raya ini, apabila mereka berhimpun mendoakan yang terbaik untuk penerbangan MH370 yang hilang sejak 11 hari lalu.
Majlis solat hajat dan doa selamat untuk pesawat Malaysia Airlines itu berlangsung malam Jumaat lepas, diketuai Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di New York Shahrulmiza Zakaria dan disertai kira-kira 70 anak Malaysia yang tinggal di sekitar kota raya ini, New Jersey dan Connecticut.
Antara yang hadir ialah pegawai-pegawai di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Konsulat Malaysia di New York, wakil agensi kerajaan dan institusi kewangan serta pelajar dan rakyat Malaysia yang lain.
Timbalan Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB Raja Reza Raja Zaib Shah berkata usaha yang dilakukan itu merupakan ikhtiar rakyat Malaysia di New York dalam misi pencarian MH370.
Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB di sini juga menempatkan papan mesej #PrayForMH370 bagi membolehkan warga Malaysia dan pelawat ke pejabat itu berkongsi keprihatinan, harapan dan doa mereka. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment