My Add

Monday 7 May 2012

11 nelayan terselamat, bot dinaiki karam

BACHOK, AHAD, 06 Mei, 2012: Seramai 11 nelayan terselamat selepas bot yang mereka naiki karam ketika memancing di kawasan tujuh batu nautika dari pantai Senok di sini, hari ini. 

Kejadian itu berlaku jam 6.30 pagi apabila bot mereka dimasuki air kerana dikatakan tidak menutup injap lubang air bot berkenaan ketika sedang memancing ikan di kawasan terbabit.

Mereka berumur antara 25 dan 52 tahun itu sempat diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang berada berdekatan tempat kejadian.

"Kami sempat melepaskan tembakan api amaran sebagai isyarat kecemasan kepada bot berhampiran untuk mendapatkan pertolongan mereka," kata pemilik bot yang karam itu, Abdul Aziz Abdullah, 40, dari Kampung Pantai Kemayan dekat sini. 

Sambil mengucap syukur dan berterima kasih kepada nelayan yang menolong mereka, Abdul Aziz berkata beliau dan rakan-rakannya hanya menyedari bot itu bocor apabila air masuk hampir menenggelamkan bot itu. 

"Jika rakan nelayan itu tidak menyedari kami dalam kecemasan sudah tentu kami lemas dalam kejadian ini, tiada apa yang kami ingat melainkan Tuhan," katanya. 

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dengan kerjasama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Bachok bergegas ke Pantai Senok untuk memberi bantuan kecemasan, yang kemudiannya mendapati sebelas nelayan tersebut sudah berjaya diselamatkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment