My Add

Tuesday 22 May 2012

Nik Aziz mula perlihatkan belang sebenar


Nik Abdul Aziz Nik MatNik Aziz
KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Mei, 2012: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mula memperlihat belang sebenar yang beliau tidak pernah ikhlas mahu bermuzakarah dengan UMNO apabila bertegas tidak setuju dengan perpaduan antara dua parti terbesar Melayu itu.

Pendirian itu dibuat hanya dua hari selepas beliau meletakkan syarat kepada UMNO jika mahu bermuzakarah, walaupun isu berkenaan dimulakan sendiri oleh Mursyidul Am Pas tersebut baru-baru ini.

Pada masa sama, Nik Abdul Aziz juga dilihat berdolak-dalik apabila berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bermuzakarah tetapi topik perbincangan adalah kenapa UMNO lawan Pas dan bukan isu perpaduan.

"Saya tidak pernah setuju (pasal perpaduan) tetapi tentang muzakarah, saya tidak melihat sebarang masalah. Saya cadangkan UMNO dan Pas diwakili presiden masing-masing. Perbincangannya ialah tentang Pas lawan UMNO dan kenapa UMNO lawan Pas," katanya di laman sosial Facebooknya, hari ini.

Isu muzakarah kembali timbul apabila Nik Abdul Aziz menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian tetapi selepas hasrat itu disambut baik oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau mula meletakkan syarat iaitu perlu menerima rakan pakatan Pas dalam pembangkang dan menukar dasar kebangsaan kepada Islam terlebih dahulu.

Tindakan Nik Abdul Aziz itu kemudiannya mengundang kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan syarat tersebut hanya alasan Pas untuk tidak bermuzakarah dengan UMNO.

Dr. Mahathir turut menyindir Pas kerana sanggup meletakkan syarat untuk berbincang dengan UMNO walaupun melibatkan soal Melayu tetapi pada masa sama parti itu tidak pula meletak syarat ketika bersetuju bekerjasama dengan DAP.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Nik Abdul Aziz dalam nada sindiran menyatakan sebagai orang tua, Dr. Mahathir sepatutnya tahu bahawa setiap muzakarah perlu ada syarat.

"Tun Mahathir orang tua, dia tahu bila ada pertemuan memang ada syarat. Kita nak kahwin dua orang pun ada syarat, inikan muzakarah.

"Kita nak buka syarikat ada syarat, mana boleh muzakarah tak ada syarat," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Pembinaan Kilang Sawit Tapis Antara Anak Syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ladang Sungai Terah Sdn. Bhd. dengan Modipalm Engineering Sdn. Bhd..

Nik Abdul Aziz turut menolak sindiran Dr. Mahathir mengenai kerjasama Pas-DAP, dengan menyatakan Pas turut meletakkan syarat untuk bekerjasama dengan parti itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Ditanya tindakan banyak pihak yang mempersoalkan keikhlasan Pas dan kemungkinan muzakarah itu hanya gimik politik, Menteri Besar Kelantan itu berkata: "Bila sebut Islam, dia mesti mempunyai unsur ikhlas, tidak ada Islam yang tidak ada ikhlas, yang tidak ikhlas itu munafik.

Beliau turut menyifatkan andaian mengatakan ada pemimpin Pas menolak muzakarah tersebut sebagai mengarut sambil menambah, pihak yang tidak mahu bermuzakarah adalah orang bukan Pas. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment