My Add

Saturday 26 May 2012

NUBE sambut baik nasihat TPM soal kerjasama pekerja, majikan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 25 Mei, 2012: Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) hari ini menyambut baik nasihat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya pekerja dan majikan mempereratkan hubungan mereka demi kebaikan negara di masa depan. 

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon dalam satu kenyataan kepada Bernama, menyifatkan nasihat itu sebagai "bernas dan tepat pada masanya" kerana negara sedang bergerak pantas ke arah mencapai sasaran status negara maju menjelang 2020.

Beliau mengulas nasihat Muhyiddin itu kepada golongan pekerja dan majikan pada satu perhimpunan di Johor Selasa lepas.

Bagaimanapun, Solomon kesal kerana ada segelintir majikan dalam industri perbankan tidak percaya kepada prinsip asas itu, yang telah menimbulkan rasa kurang senang dan kecewa di kalangan pekerja terutama yang berpendapatan rendah. 

Katanya, terdapat sebuah bank yang mempunyai 68 kes yang difailkan terhadapnya yang masih tertunggak di Mahkamah Perusahaan dan 123 kes rasa tidak puas hati yang masih belum selesai dalam tempoh dua tahun lepas. 

Sebanyak 537 laporan polis turut dibuat terhadap bank yang sama oleh pekerjanya. 
Beliau berharap industri perbankan mendengar nasihat Timbalan Perdana Menteri itu dan menjalin hubungan baik dengan kesatuan demi kebaikan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment