My Add

Tuesday 15 May 2012

Pakar kulit HSNZ usaha rawat penyakit Md Rahim

MARANG, SELASA, 1 Mei, 2012: Penderitaan yang dialami Md Rahim Jatim, 57, yang diserang penyakit misteri sejak 23 tahun lalu hingga menyebabkan keseluruhan badannya ditumbuhi benjolan daging, akhirnya mendapat perhatian pakar perubatan kulit Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Chong Yew Thong. 

Dr Chong yang melawat Md Rahim di Kampung Jerung Seberangdi sini, akan melakukan pemeriksaan rapi terhadap Md Rahim, termasuk melakukan imbasan menggunakan mesin pengimbas tercanggih, untuk mengesan punca sebenar penyakit kulit yang dideritai bapa tiga anak itu.

Md Rahim mengalami sakit kulit yang misteri dan kronik atau nama saintifiknya "neurofibromatosis" sejak berumur 30 tahun.

Dr Chong berkata, penyakit yang dideritai Md Rahim adalah akibat keganjilan genetikdan penyakit itu boleh diwarisi melalui keturunan dan sangat jarang berlaku dengan nisbah 1:4000 penduduk di seluruh dunia. 

"Sepanjang karier saya sebagai pakar perubatan kulit, kes Md Rahim ini adalah yang paling teruk dan kronik kerana keseluruhan badannya ditumbuhi benjolan ini. Dari hujung kaki hingga kepala semuanya dipenuhi benjolan ini. 

"Sebelum ini kita pernah berjumpa dengan kes-kes sebegini, namun benjolan itu berada di tempat tersembunyi di badan seperti di bawah lengan dan ia tidak begitu serius seperti yang dihidapi Md Rahim," katanya. 

Lebih memburukkan keadaan apabila Dr Chong menjelaskan tiada rawatan khas untuk penyakit itu setakat ini, malah penyakit itu boleh diwarisi anak-anak Md Rahim, hasil perkongsian hidupnya dengan Maimunah Mat Ali, 44. 

Setakat ini anak sulung mereka, Mohd Amirul, 19, sudah mempunyai simptom benjolan itu di bahagian tengkuknya manakala anak yang bongsu, Nur Zahirah, 6, pula mempunyai simptom serupa di pinggang. 

Bagi Md Rahim yang kini sudah lumpuh di bahagian badan sebelah kiri pula, dia hanya berharap dapat berjalan seperti biasa dan redha andai penyakit kulitnya itu tidak boleh disembuhkan. 

"Kalau boleh, biarlah anak saya tidak mewarisi penyakit ini kerana saya mahu mereka mempunyai masa depan yang cerah dengan kesihatan yang baik,” katanya yang hanya boleh menggaru badan akibat terlalu gatal dan mandi lebih kerap apabila cuaca panas. 

Sumbangan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyakarat dapat melegakan beban kewangan yang melanda keluarga itu, namun mereka tetap gigih untuk mencari penawar supaya Md Rahim boleh berjalan semula seperti biasa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment