My Add

Friday 18 May 2012

Salahuddin sahkan akan bertanding di Johor

KUALA TERENGGANU, JUMAAT, 18 Mei, 2012: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan, sebaliknya beralih ke Johor untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti. 

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga kerusi Parlimen di negeri kelahirannya itu.
"Kami (PAS) sudah buat keputusan bahawa saya akan bertanding sebagai calon di Johor pada PRU-13 akan datang. Mungkin dua kerusi, DUN dan Parlimen.

"Buat masa ini, kita sedang tunggu kawasan mana, ia mungkin di Tanjung Piai, Batu Pahat, Muar atau Kulai," katanya kepada pemberita selepas majlis ceramah pakatan pembangkang di Dataran PAS di Kuala Ibai dekat sini malam tadi.

Salahuddin yakin kepulangannya ke Johor akan dapat membantu barisan kepimpinan PAS serta pembangkang di negeri itu dalam usaha mencipta satu sejarah pada pilihan raya umum akan datang. 

Katanya, beliau menyifatkan Johor sebuah negeri yang "subur" bagi PAS dan yakin mampu melakukan suatu perubahan selepas PRU-13. 

"Saya bersedia menawarkan diri untuk memberi perkhidmatan di Johor berdasarkan pengalaman yang ada," katanya.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Serkat, Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian pada PRU 2004 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU 2008. 

Sebelum ini, beliau turut disebut-sebut akan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas di Kelantan, Titiwangsa (Wilayah Persekutuan) selain di Johor pada PRU-13. 

Salahuddin mengekalkan jawatan Naib Presiden PAS pada pemilihan parti Jun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment