My Add

Friday 18 May 2012

Suwaibah terharu dapat harumkan nama negara

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Pelari solo wanita negara, Suwaibah Muhammad Nasir terharu kerana dapat mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dengan kejayaannya menamatkan Larian Sahara sejauh 1,111 kilometer (km) merentasi Gurun Sahara baru-baru ini.

Menurut Suwaibah, beliau sentiasa menghargai sokongan dan doa rakyat negara ini sehingga berjaya menamatkan larian tersebut.

"Pujian dan dorongan daripada semua pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang saya temui semalam, telah menaikkan semangat saya untuk terus berlari demi menggalas nama negara selepas ini.

"Saya akan terus melakukan larian yang memanfaatkan masyarakat seperti Larian Sahara, di negara lain pula agar kejayaan saya itu tidak terhenti begitu sahaja," katanya ketika melakukan kunjungan ke Ibu Pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang diiringi Timbalan Pengarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Jessica Ong Hai Liaw dan jurulatih peribadinya, Rohani Che Mee turut bertemu dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang, Datuk Othman Mohamad.

Misi menawan Gurun Sahara yang bermula 7 April dan berakhir 8 Mei lalu melibatkan laluan dari Aswan ke Luxor sejauh 179 km, Luxor-Sohag-Assyut (221 km), Assyut-Al-Minya-Gaza-Kaherah (318 km) dan Kaherah-Suez sejauh 125 km.

Menurut Suwaibah, beliau akan menyertai program 'Jelajah Bersama Wirawati' anjuran UPNM selepas ini, yang bertujuan membawa semangat juang beliau ke dalam jiwa para kadet universiti tersebut.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu turut berterima kasih kepada Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi kerana memberi liputan yang baik terhadap lariannya selama 32 hari itu.

"Saya bercadang untuk meneruskan projek larian saya ini dengan kerjasama UPNM dan Puteri UMNO selepas ini. Saya akan meneruskan momentum ini demi nama baik negara," ujarnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment