My Add

Monday 14 May 2012

Usul Majlis Peguam bersifat berat sebelah: KPN

PUTRAJAYA, ISNIN, 14 Mei, 2012: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, hari ini menyifatkan usul yang diluluskan Majlis Peguam Malaysia pada mesyuarat agung luar biasanya Jumaat lalu sebagai berat sebelah. 

Ini kerana katanya, badan terbabit menghukum polis dengan cepat tanpa mendapatkan penjelasan pasukan keselamatan tersebut berhubung kejadian semasa perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan pada 28 April lalu.

"Saya pun nak tahu rujukan apa yang dipakai sebab keputusannya begitu cepat.

"Saya pun tak boleh buat keputusan. Saya kata kita siasat, tunggulah. Tiba-tiba Majlis Peguam dah buat keputusan. Jadi saya rasa anda 'judge' sendirilah," katanya kepada pemberita selepas program lawatan ke Hospital Putrajaya sempena Peringatan Hari Polis ke-205 di sini. 

Ismail berkata, demikian ketika diminta mengulas usul tersebut yang antara lain mengutuk tindakan polis menggunakan gas pemedih mata terhadap peserta perhimpunan selain mendakwa polis tidak memberi masa mencukupi untuk peserta bersurai. 

Mengulas mengenai penggunaan semburan air dan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan itu, Ismail berkata, tindakan itu dilaksana berdasarkan undang-undang negara dan prosedur standard operasi (SOP) serta Manual Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Bagaimanapun kata Ismail, pihaknya akan mengkaji isu yang dibangkitkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung penggunaan kedua-dua kaedah itu dan akan membuat perubahan jika perlu, selain bersedia menerima cadangan mana-mana pihak berhubung cara terbaik untuk menyuraikan perhimpunan. 

Ismail juga menyambut baik pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar sebagai ketua Panel Penasihat Bebas yang ditubuh bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian rusuhan pada hari perhimpunan. 

Polis katanya, akan memberi kerjasama penuh kepada panel tersebut, serta yakin siasatan akan dijalankan dengan profesional tanpa unsur berat sebelah seperti yang didakwa sesetengah pihak. 

Sementara itu, Ismail berkata, tiga lagi individu yang dikehendaki polis kerana merusuh pada perhimpunan tersebut menyerah diri semalam dan kelmarin serta menasihati yang lain supaya berbuat demikian sebelum tempoh yang diberi berakhir esok. 

Mengulas perkara berbeza, Ismail mahu anggota PDRM mengamalkan pemakanan sihat kerana didapati ramai di antara mereka dikesan menghidap kencing manis dan sakit jantung. 

"Walaupun (jumlahnya) tidak serius, tapi saya nak galakkan mereka hidup secara sihat supaya kami dilihat sebagai satu agensi telus yang boleh menjalankan tugas kami supaya dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PDRM," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment