My Add

Friday 28 September 2012

4 lagi jelapang padi akan dibuka

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 September, 2012: Empat kawasan jelapang padi baru akan dibuka iaitu di Kota Belud, Sabah; Batang Lupar (Sarawak); Rompin dan Pekan (Pahang), khusus bagi kelestarian jaminan bekalan makanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia membabitkan kawasan seluas 19,000 hektar dengan penyertaan 12,237 pesawah, yang dijangka dapat menghasilkan 104,000 tan metrik padi dengan perbelanjaan RM140 juta.

Beliau berkata, selain itu kawasan jelapang padi sedia ada seluas 389,000 hektar yang mampu menghasilkan 1.8 juta tan metrik ketika ini akan ditambah baik dengan sistem pengurusan tanamannya secara sistematik.

"Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama pengusaha sawah pula, buat julung kalinya kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi," katanya dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, skim itu memberi kemudahan perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan ia dijangka memanfaatkan 172,000 pesawah, dengan jumlah pampasan yang dapat diterima dianggar bernilai RM13,000 setiap pesawah, dan buat permulaan kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta.

Najib berkata, kerajaan juga akan meneruskan Projek Azam Tani yang diperkenalkan tahun lalu, yang berjaya mengeluarkan 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat antara RM200 hingga RM2,000 sebulan, malah beberapa peserta berjaya mendapat pendapatan melebihi RM10,000 sebulan.

"Untuk memperkasakan lagi usaha ini, RM41 juta akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta," katanya. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor pertanian dalam usaha meningkatkan pendapatan negara di samping memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan, dan bagi tujuan itu RM5.8 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan RM30 juta untuk pembangunan program pertanian yang merangkumi aplikasi penggunaan teknologi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian.

Najib berkata, bagi membantu petani mengurangkan kos pengeluaran pula, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah RM2.4 bilion.

Beliau berkata, bantuan itu termasuk subsidi dan insentif bagi sektor padi yang merangkumi pemberian subsidi harga padi sebanyak RM480 juta, pemberian subsidi baja padi RM465 juta, insentif peningkatan hasil padi RM80 juta, insentif pengeluaran padi RM563 juta, subsidi harga beras RM528 juta dan subsidi benih padi sah RM85 juta.

Bagi sektor peladangan pula, Perdana Menteri berkata, RM432 juta disediakan untuk program penanaman semula kelapa sawit, yang akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar 26.2 tan sehektar pada 2020 berbanding 21 tan sehektar ketika ini.

Sementara itu Najib berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM230 juta sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan, semasa program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan yang membabitkan peruntukan RM300 juta pada belanjawan 2012 giat dijalankan.

Ketika ini kerajaan memberi elaun bantuan sara hidup RM200 sebulan yang dapat memanfaatkan 55,000 nelayan berdaftar, dan kerajaan juga menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar di seluruh negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment