My Add

Friday 28 September 2012

RM591 juta jayakan usaha kurangkan jenayah: Najib

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 September, 2012: Usaha menambah bilangan jawatan baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara langkah untuk mengurangkan jenayah dengan peruntukan berjumlah RM591 juta disediakan tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebanyak 1,000 buah motosikal juga akan disediakan dengan peruntukan RM20 juta bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal yang akan ditubuhkan untuk memantau kawasan perumahan.

"Selain itu, sejumlah RM70 juta akan diperuntuk untuk menambah bilangan anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) seramai 10,000 orang bagi membantu polis membanteras jenayah," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata, peruntukan kepada PDRM itu juga meliputi penambahan 496 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di 25 Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara.

Katanya, penambahan anggota itu penting sebagai persediaan kementerian untuk berhadapan dengan fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Program Transformsi Kerajaan (GTP) Mengurangkan Jenayah yang akan memberi tumpuan jenis jenayah dan kawasan yang lebih luas serta penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dalam usaha mencegah jenayah.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sebanyak 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan akan diberikan geran berjumlah RM10,000 bagi menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan yang dilakukan persatuan terbabit.

Najib berkata, kerajaan juga menyasarkan penubuhan 6,500 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) baharu bagi mempertingkatkan peranan KRT dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan. 

Katanya, bagi pemberian geran kepada persatuan penduduk, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 juta, manakala RM39 juta disediakan untuk membiayai aktiviti KRT di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, bagi meningkatkan imej Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), seramai 300,000 anggota Rela yang aktif akan dibekalkan dengan sepasang pakaian seragam melibatkan peruntukan sebanyak RM90 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment